Berita

DAP seru rakyat Malaysia pertahan keharmonian dan keamanan

KUALA LUMPUR, 29 JANUARI: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyeru rakyat Malaysia berbilang bangsa agar mempertahankan keharmonian sedia ada dan tidak sesekali termakan dengan provokasi melampau sebilangan pihak yang mahu membangkitkan semula peristiwa 13 Mei 1969.

Beliau berkata, seruan itu bukan berdasarkan kebimbangan peribadi tetapi kerana tidak mahu melihat negara musnah.

“Tidak ada manfaat yang akan diperoleh kebencian berterusan dimainkan, malah lebih parah lagi, semua rakyat akan menderita kerananya.

“Saya tidak mahu 13 Mei berulang, bukan kerana kebimbangan peribadi tetapi kami semua berdiri untuk keamanan.

“Mereka yang menghasut kepada keganasan kaum dan agama merupakan pengkhianat negara yang sebenar, ini berbeza dengan Pakatan Rakyat (PR), kami mahu mewujudkan hubungan lebih baik tapi BN mengekalkan kitaran ganas,” katanya dalam dialog di Ibu Pejabat DAP, semalam.

Antara pimpinan DAP yang hadir pada forum itu ialah Setiausaha Organisasi, Anthony Loke Siew Fook; Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming; Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Kok Wai; Naib Pengerusi, Teresa Kok dan lain-lain.

Baru-baru ini, ketegangan kaum angkara puak pelampau mencapai peringkat tertinggi apabila dua molotov koktel dilempar ke perkarangan Gereja Assumption di Lebuh Farquhar, Pulau Pinang.

Satu daripada bom molotov itu meletup awal pagi Isnin. Siasatan awal polis kemudiannya mendapati dua lelaki bermotosikal melakukan jenayah itu.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen DAP Gelang Patah turut menyelar sikap Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar kerana melakukan tindakan progresif untuk mencegah dan mengatasi masalah ini daripada berulang tapi memilih untuk terus mendiamkan diri.

“Kami ingin bertanya, mengapa KPN seolah-olah tidak membuat apa-apa, apakah beliau tidur? Bukankah sudah menjadi kewajipan dan tanggungjawab polis melindungi rakyat Malaysia?.

“Mengapa orang yang menghasut keganasan dan kestabilan negara dibiarkan begitu saja?,” soalnya.

Beliau juga mengalu-alukan bekas Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan yang turut hadir sebagai panelis untuk memimpin sebuah NGO baru agar Malaysia bebas daripada sengketa agama dan kaum.

“Saya berharap Ambiga dapat memimpin satu NGO baru itu kerana terdapat keperluan untuk semua rakyat membangun sensitiviti luar biasa kepada masyarakat majmuk. Rakyat perlu mempunyai kesedaran aktif,” ujarnya.-Roketkini.com