Berita

Dialog Pakatan – BN perlu diadakan secepat mungkin

KUALA LUMPUR, 30 JAN – Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok Suh Sim menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengaturkan dialog antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional secepat mungkin, agar rangka (blueprint) Rekonsiliasi Nasional dapat dicapai.

Dalam satu kenyataan, katanya lagi, ia untuk memadamkan ketegangan kaum dan agama yang dilihat semakin parah.

Beliau merujuk laporan mengenai lapan kubur di Tanah Perkuburan Tanjung Api, Kuantan yang dimusnahkan, semalam.

“Walaupun belum pasti sama ada ia berkaitan dengan insiden kain rentang ‘Allah is Great, Jesus is the Son of Allah’ yang digantung di luar gereja di Pulau Pinang baru-baru ini, prasangka bahawa ia adalah tindakan ekstremis agama dan kaum tidak dapat dielak.

“Dengan itu, kerajaan Persekutuan miliki tanggungjawab yang mendesak untuk memadamkan ketegangan yang berlaku,” katanya yang turut mengutuk tindakan itu dan meminta polis bertindak segera dan menahan pelaku yang terlibat.

Katanya lagi, Pakatan sebelum ini telah menyeru agar dialog antara pimpinannya dan BN diadakan bagi meredakan masalah itu.

Semalam, Najib dilaporkan menerima seruan Pakatan dan bersetuju untuk bekerjasama mengadakan rekonsiliasi nasional.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Seputeh itu mengecam sikap Ketua Pemuda umno, Khairy Jamaluddin yang dilihat masih bermain politik dalam isu itu, tidak seperti Najib.

“Dua hari lalu, Khairy mendakwa ketegangan berpunca daripada kegagalan Pakatan menyelesaikan isu ‘Kalimah Allah’ di Selangor. Belia dilaporkan berkata ‘selesaikannya dulu, kemudian baru boleh berbincang’.

“Beliau sangat tidak bertanggungjawab apabila menuduh kerajaan Selangor, sedangkan Penyelesaian Sepuluh Perkara yang diluluskan Kabinet gagal menyelesaikannya,” katanya yang kecewa dengan kenyataan itu.

Katanya lagi, kelakuan Khairy menunjukkan beliau masih terperangkap dengan politik kepartian di saat kerjasama kedua-dua pihak amat diperlukan demi kebaikan negara. – Roketkini.com