Berita

Cadang Chong Wei bertanding di Kajang mengarut, bukti BN ketandusan pemimpin

KUALA LUMPUR, 2 FEBRUARI: Cadangan UMNO agar pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang membuktikan Barisan Nasional (BN) ketandusan pemimpin.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok Suh Sim berkata, cadangan UMNO itu dianggap mengarut sehingga sanggup menjadi Chong Wei sebagai alat politik mereka.

Beliau mengulas cadangan Ketua Umno Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin, kelmarin dengan alasan MCA tidak memiliki tokoh yang mampu menandingi Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Cadangan itu bukan sahaja membuktikan BN dan MCA gagal mencari calon yang sepadan dan mampu menyaiingi Anwar, sehingga sanggup menggunakan populariti Chong Wei sebagai alat politik menyelamatkan mereka pada PRK ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh juga menyifatkan idea itu mengarut beliau juga mengecam BN yang seperti tidak menghargai Chong Wei yang ketika ini sibuk membawa nama negara ke kejohanan badminton serata dunia.

Memetik laporan Sinar Harian, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai enggan mengulas cadangan itu namun tidak menolak kemungkinan populariti Chong Wei dapat menandingi Anwar.

Menurut Teresa Kok, beliau terkejut apabila Liow seakan-akan menimbangkan cadangan itu.

“Ia adalah penghinaan kepada Chong Wei selaku pemain badminton terkemuka dunia.

“Sukan dan politik adalah bidang berbeza. Seorang yang berbakat dalam bidang sukan tidak semestinya turut miliki bakat dalam politik,” katanya lagi. -Roketkini.com