Berita

Jumlah pendaftaran pengundi turun mendadak selepas SPR henti lantik Penolong Pendaftar Pemilih

KUALA LUMPUR, 2 FEBRUARI: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak memperbaharui tempoh penolong pendaftar pemilih (ARO) yang berperanan mendaftarkan pengundi untuk parti politik menyebabkan jumlah pendaftaran pengundi baru menurun dengan ketara, kata Pengarah Pilihan Raya DAP, Ong Kian Ming.

Beliau berkata, jumlah itu sangat ketara selepas melihat jumlah pendaftaran selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13.

“Sementara salah satu sebab pengurangan itu kerana pengundi melihat tiada keperluan untuk mendaftar sebaik selepas PRU, tidak boleh dinafikan tindakan SPR itu turut menyebabkan pendaftaran pengundi oleh parti politik turut berkurang.

“Walaupun PRU sudah selesai, tanggungjawab SPR untuk mendaftarkan pengundi perlu diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Maka, katanya lagi, jika SPR tidak mampu mengurangkan jumlah pengundi belum mendaftar melalui programnya, mereka perlu memberi kebenaran kepada parti politik dan NGO untuk mendaftarkan pengundi melalui ARO yang dilantik.

SPR melalui satu surat bertarikh 13 November 2013 menyatakan tiada lagi pelantikan ARO baru, dengan alasan untuk menyelaraskan kaedah pendaftaran sedia ada.

DAP sudah menghantar surat meminta penjelasan daripada SPR, tapi belum menerima maklum balas setakat 16 Januari lalu.

Ahli Parlimen Serdang itu turut memetik jumlah penurunan melalui maklumat yang diperoleh dari SPR.

Katanya, jumlah pendaftaran adalah 104,959 bagi suku pertama dan 49,789 bagi suku kedua, tetapi menurun mendadak pada suku ketiga (18,693) dan keempat (21,754).

Katanya lagi, Selangor yang memiliki jumlah pengundi belum mendaftar terbesar mencatatkan jumlah penurunan sebanyak 32 (suku ketiga) dan 1058 (suku keempat), manakala jumlah pendaftaran bagi DUN Kajang menurun daripada 335 (suku pertama) ke 39 (suku ketiga) malah pengurangan jumlah pengundi sebanyak 39 pada suku keempat.

“Jumlah pendaftaran bagi suku ketiga dan keempat memberi bukti jelas yang aktiviti pendaftaran pengundi perlu dilakukan untuk mengurangkan bilangan pengundi belum mendaftar,” katanya lagi.

SPR tidak mahu tambah kerusi?

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan SPR tidak ingin menambah jumlah pendaftaran, terutama di Selangor kerana ia akan memaksa bilangan kerusi ditambah pada proses persempadanan semula.

“Tambahan pula, kerusi-kerusi itu kemungkinan besar akan dimenangi Pakatan,” katanya.

Justeru, katanya lagi, beliau menggesa SPR menunjukkan komitmen untuk menggiatkan pendaftaran pengundi, serta mengembalikan status ARO parti politik agar dapat bersama-sama menambahkan jumlah pengundi baru. -Roketkini.com