Berita

Isu budak gagal daftar sekolah perlu penyelesaian menyeluruh

KUALA LUMPUR, 4 FEBRUARI:Isu kanak-kanak yang gagal didaftar ke sekolah kerana masalah dokumen pengenalan perlu ditangani secara menyeluruh di peringkat jabatan, bukan berdasarkan kes individu semata-mata, kata Ketua Wanita DAP Kebangsaan, Chong Eng.

Beliau membandingkan kes Yunos Abdullah yang tidak dapat mendaftarkan anak daripada isteri keduanya ke sekolah kerana tiada kad pengenalan, dengan kes Poh Shai Fern, kanak-kanak berusia enam tahun di Sungai Petani yang menghadapi masalah sama.

Anak Yunos bersama isteri keduanya yang dilahirkan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dan Tan & Tan Specialist Maternity Centre Bukit Mertajam tidak dapat bersekolah kerana tidak memohon kad pengenalan walaupun memiliki sijil kelahiran.

Akhbar China Press pada 21 Januari lalu melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom membantu menyelesaikan masalah persekolahan Poh kerana tiada dokumen pengenalan.

“Tindakan Jamil itu bukan tindakan yang mulia, tetapi menandakan masalah sistemik yang lebih besar. Tanggungjawab seperti itu harus dilakukan atas kapasiti jabatan, bukan individu.

“Malah, ia akan ambil masa lama untuk berjumpa, bersalam dan mengambil gambar dengan setiap kanak-kanak yang dibantu. Dengan membantu seorang, ia tidak menyelesaikan masalah serupa yang dihadapi kanak-kanak lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, katanya lagi, pembaikan sistem mesti dilakukan, dengan kementerian meneliti dan melancarkan urusan pendaftaran dokumen pengenalan kanak-kanak yang tercicir.

Secara prosedur, semua kanak-kanak warganegara Malaysia berumur 12 tahun ke bawah boleh memohon kad MyKid dengan menyediakan Sijil Kelahiran Malaysia/Borang W (asal) dan dokumen pengenalan ibu atau bapa.

Katanya, kerajaan perlu menyediakan alternatif lain untuk menangani isu itu jika prosedur di atas gagal dipenuhi, kerana ia membabitkan pendidikan yang menjadi hak setiap kanak-kanak.

“Usaha Unit Khas Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Sabah boleh dijalankan di Semenanjung Malaysia bagi menyelesaikan isu kanak-kanak yang berdepan masalah sijil kelahiran.

“Masalah seperti ini harus ditangani dengan tuntas bukannya bersifat tindakan popular,” kata Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu lagi. -Roketkini.com