Berita

DAP seret ROS ke mahkamah kerana tidak iktiraf CEC: Guan Eng

KUALA LUMPUR, 4 FEBUARI: DAP tidak boleh lagi berlembut, terpaksa mengheret Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) ke mahkamah kerana enggan mengiktiraf pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang diadakan pada kongres khas September tahun lalu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata DAP sudah memfailkan permohonan semakan kehakiman itu dua minggu lalu dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 11 Mac ini untuk mendengar permohonan itu.

Guan Eng dalam permohonannya mahu mahkamah mengisytiharkan keputusan ROS itu tidak sah serta tidak menerima keputusan pemilihan CEC DAP.

Lim dalam afidavit sokongan menyatakan keputusan untuk tidak mengiktiraf CEC adalah di luar bidang kuasa undang-undang malah ia dianggap perbuatan yang  tidak masuk akal dan dilakukan dengan niat jahat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan mendakwa ROS bertindak di luar bidang kuasa mengikut Akta Pertubuhan 1966 apabila nekad tidak mengiktiraf pemilihan CEC.

“Keputusan ROS itu tidak sah dan tiada kesan undang-undang kerana tidak tertakluk dalam mana-mana perundangan bagi menahan pengiktirafan pemilihan itu,” katanya.

Beliau berkata, ROS juga tidak pernah memaklumkan kepada DAP mengenai sebarang pertikaian yang timbul daripada kongres khas itu.

“ROS tidak pernah memberi peluang kepada DAP untuk membalas aduan itu sebelum keputusan tidak mengiktiraf pemielihan itu dilakukan” katanya.

Beliau juga menganggap keputusan ROS sebagai satu lagi penyalahgunaan undang-undang dan tidak munasabah kepada DAP.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kegagalan ROS tidak menghantar surat jawapan kepada DAP membuktikan badan itu menyalahguna kuasa selain dilihat bertindak sewenang-wenangnya dan menindas parti itu.

Pada 15 Disember 2012 DAP melaksanakan kongres nasional dengan 20 ahli dilantik melalui pemilihan CEC.

Bagaimanapun, pada 17 April 2013, ROS mengeluarkan notis kepada DAP mendakwa terdapatnya aduan penyelewengan ketika pemilihan itu yang sepatutnya diadakan pada Disember.

Ia menyebabkan keputusan pemilihan disiasat semula malah ROS juga mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula CEC pada 30 Julai tahun lalu.

Akur dengan desakan itu, DAP mengadakan kongres khas dan pemilihan semula CEC pada 29 September tahun lalu.

Lim turut mempertahankan 20 ahli yang dipilih CEC adalah mengikut peruntukan dalam perlembagaan parti dan mereka dipilih sebagai pemegang jawatan utama.

Namun, Lim berkata, pada 6 Disember, ROS menghantar surat memaklumkan tidak akan mengiktiraf pemilihan anggota CEC DAP baru sehingga siasatan selesai.

Beliau berkata, ROS juga memutuskan untuk tidak membenarkan ahli DAP yang dilantik menganggotai CEC membuat keputusan bagi pihak parti.

Pada 20 Disember pula DAP menulis surat kepada ROS menuntut badan itu menjelaskan mengikut peruntukan undang-undang mana yang digunakan dalam membuat keputusan itu.

DAP juga memberitahu ROS bahawa tidak akan terikat dengan keputusan yang tidak mempunyai asas undang-undang dan jika perlu akan membawa perkara itu ke mahkamah.

Tempoh 14 hari diberikan tetapi ROS gagal memberi maklum balas terhadap surat terbabit.

Pada 8 Januari lalu, DAP sekali lagi menghantar surat kepada ROS dengan semua dokumen yang diminta.

DAP menuntut ROS menyediakan nama dan cara untuk menghubungi pegawai penyiasat yang bertanggungjawab dalam kes itu bagi membolehkan komunikasi dilakukan.

Namun, RoS tidak membalas surat berkenaan.

Berdasarkan situasi itu, DAP akhirnya nekad memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman berhubung keputusan ROS itu – Roketkini.com