Berita

Penghinaan UMNO-BN terhadap orang Melayu jauh lebih buruk – Ariff Sabri

KUALA LUMPUR, 5 FEBRUARI: Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz berkata, penghinaan UMNO terhadap orang Melayu jauh lebih buruk berbanding video satira ‘One-derful Malaysia’ yang dihasilkan Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok Suh Sim.

Justeru, beliau mempertikaikan reaksi melampau sesetengah pihak, antaranya Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan yang membuat laporan polis dan mengecam Teresa serta menuduh video itu ‘boleh menggugat keharmonian rakyat’.

“Teresa mengemukakan video yang gambarkan rekod Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan BN dalam bentuk humor dan satira. Kenapa darah Pemuda UMNO nak menggelegak? Penderitaan Melayu akibat dasar UMNO dan BN tidak pula mahu memberontak.

“Rakyat lagi lama dihina dan diperbudakkan. Penoreh getah di kampung di Raub menderita untuk mendapat RM200 sebulan, bil elektrik kediaman rasmi Najib pula RM6,100 sehari dan air RM800 sehari. Mengapa tidak ada laporan polis ke atas pimpinan BN itu dibuat?” katanya.

Beliau merujuk jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim di Parlimen tahun lalu menyatakan jumlah bil elektrik Kompleks Seri Perdana pada 2012 adalah RM2,237,788.13, manakala air RM311,174.25.

Klip video sempena Sambutan Tahun Baru Cina itu mengandungi unsur kritikan secara satira terhadap beberapa isu seperti ekonomi, keselamatan, urus tadbir dan kehidupan pemimpin negara yang mewah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam dilaporkan berkata, sejumlah 40 laporan polis dibuat ke atas Ahli Parlimen Seputeh itu dan siasatan akan dijalankan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sehubungan itu, Mohd Ariff Sabri menyifatkan kandungan video klip itu hanya versi ‘lembut’ kepada kemarahan rakyat kepada UMNO dan BN.

“Beliau hasilkan video yang sudah dicuci. Jika kerajaan dengar apa rakyat Raub sebut pasal Najib dan isterinya, pasti mereka akan hantar askar dan polis menangkap rakyat di sana. Ada yang meng’haramjadah’kan dan mencarut kepada Najib,” katanya sinis.

Beliau juga mengecam kenyataan Pemuda UMNO Wilayah, yang memandang kritikan dan mesej video itu daripada sudut perkauman.

“Kenapa semua perlu daripada sudut perkauman? Orang Cina tak boleh kritik Najib dan kerajaan? Orang Melayu bagaimana, tak cukup Melayu (kalau kritik)?

“Saya Melayu dan akan terus kritik kepimpinan Najib. Saya tidak akan benarkan UMNO mendefinisikan keMelayuan saya,” katanya lagi. -Roketkini.com