Rencana

Denda murid: Menghukum atau mendidik? – Haris Zuan

AWALNYA saya tidak berminat untuk menulis mengenai isu ini sehinggalah ada seorang teman membangkitkan kembali di Facebook dengan mempertikaikan bentuk hukuman (denda) yang dilarang ke atas murid sekolah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Ulasannya membuatkan saya ingin menulis panjang, katanya (tanpa suntingan);

Patutla bdk2 zaman skrg makin jahanam.. Semua hukuman xboleh.. Mak bapak pn makin bangang skrg, klu ank ko xsalah xkn ckgu nk denda.. Zmn aku dulu, xbrani nk bgtau mak ayah.. Silap2 leh kna lg truk dr 2, huhu..

Meskipun saya amat tidak bersetuju dengan sikap beliau dalam isu ini dan di samping cara ejaan dan penggunaan tatabahasa beliau, namun saya masih dapat bersetuju bahawa kami (ya, kami daripada generasi yang sama dan belajar di sekolah yang sama untuk 5 tahun) menerima hukuman yang berat dan memalukan ketika di sekolah dan tidak berani untuk mengadu kepada ibu dan bapa kami kerana pasti akan menerima denda yang barangkali lebih teruk.

Ya, denda yang sedemikian tidak menjadikan kami manusia yang ‘jahanam’ (meminjam istilah kawan saya di atas) tetapi dalam masa yang sama saya juga yakin kaedah denda yang mengaibkan murid ini juga secara empirikalnya terbukti tidak berkesan membaiki sasiah murid yang sedia ‘jahanam’ itu.

Apabila membincangkan isu pendidikan ini, saya suka mengingatkan kita semua bahawa sekolah adalah ruang pembentukan sahsiah warga dan membantu untuk setiap warganya menempatkan diri dalam struktur sosial dan ekonomi negara ini. Sekolah bukan menyediakan muridnya untuk menjadi doktor atau aktor tv semata-mata tetapi membantu bakal doktor dan aktor tv ini menempatkan diri mereka dalam masyarakat dan berperanan aktif sebagai warganegara – huraian mudah bagi konsep citizenship; bagaimana menghubungkan individu dengan negara. Demikian juga sebagaimana yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan;

“Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”

Jelas, sebarang proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah (termasuk hukuman/denda) harus menjadi usaha berterusan untuk mengembangkan potensi seorang insan itu (bakat, minat dan kemahirannya) secara seimbang untuk menjadi rakyat (warga) yang bertanggungjawab dan mampu menyumbang kepada kemakmuran negara.

Saya tidak mahu menolak pendapat yang mengatakan bahawa murid kini lebih sukar dikawal dan masalah disiplin mereka kian serius walaupun ketika saya belum akhil baligh lagi sudah kedengaran keluhan ini. Pada saya, kita harus lebih bersimpati kepada murid-murid ini berbanding mengambil sikap membenci mereka. Hal ini adalah penting kerana tidak sedikit daripada murid yang bermasalah ini datang daripada keluarga yang berantakan. Mereka adalah mangsa, bukan punca.

Hukuman yang mengaibkan seperti berdiri di atas kerusi, makan rumput, berlari keliling padang di tengah panas hanya bertujuan menakutkan murid agar jangan ketangkapan apabila melakukan salah laku kerana mereka akan dimalukan dan tidak akan membantu murid memahami mengapa perbuatan mereka itu salah dan apakah implikasi perbuatan berkenaan kepada diri mereka dan orang lain. Murid dipaksa untuk patuh kepada disiplin tanpa dijelaskan tujuannya dan diajar agar takut kepada hukuman, bukan menghormati peraturan.

Sikap ini penting kerana jika kefahaman mengenai keperluan menghormati peraturan ini gagal dididik ketika di peringkat sekolah, besar kemungkinan murid ini membesar sebagai warga yang pasif. Izinkan saya menjelaskan perkara ini, sebagaimana maklum, setiap peraturan dibuat dengan rasional dan alasan tertentu dan mesti dijelaskan kepada setiap warga.

Umpamanya peraturan semudah memakai stokin ke sekolah harus dijelaskan tujuannya agar kepatuhan itu bukan hanya kerana perkara tersebut terkandung dalam buku peraturan tetapi mempunyai tujuan yang tertentu. Kefahaman kepada konsep ini penting agar apabila dewasa kelak, mereka ini akan memahami tujuan peraturan dan menghormati peraturan tersebut bukan kerana takut dikenakan denda atau saman, malangnya hal ini tidak semudah yang kita rasakan.

Sebagai contoh, seringkali kita dengar peringatan – baik daripada keluarga atau teman – untuk memakai topi keledar atau tali pinggang keledar ketika menunggang atau memandu bagi mengelak disaman. Pendekatan ini adalah bukti bagaimana kepatuhan itu bukan kerana memahami tujuan peraturan itu dibuat melainkan kerana khuatir akan disaman. Sikap ini sudah tentu terkesan sedikit sebanyak daripada cara didik di sekolah.

Tambah malang lagi apabila hukuman yang dikenakan kepada mereka tidak menghormati murid ini sebagai insan yang mampu berfikir dan membuat pertimbangan. Hukuman seharusnya mendidik dan membantu murid membina satu set moral sosial yang baik. Ya, ini kedengaran lunak dan pasti ada yang berkata; “cakap pandailah, kau bukan cikgu atau beristerikan seorang cikgu”. Saya insaf akan perit payahnya warga pendidik di negara ini dan saya amat menghormati serta mengkagumi mereka. Namun, kepayahan ini bukan alasan untuk kita segera berputus asa dan terus menjatuhkan hukuman yang merendahkan darjat ini kerana jelas tindakan ini tidak mampu untuk membaiki apatah lagi menyelesaikan masalah ini.

Lalu apakah alternatif selain daripada mendenda mereka makan rumput dan menggantungkan loceng di leher? Di samping memastikan murid diterangkan sebaik mungkin mengapa mereka perlu mematuhi peraturan, denda yang dikenakan juga mesti mendidik mereka untuk memahami perkara yang sama. Umpamanya melalui kerja sosial seperti membersihkan kawasan sekolah dan sebagainya. Denda sebegini akan mendidik murid untuk memahami betapa susahnya untuk membersihkan berbanding memelihara kebersihan.

Pastinya saya bukan pakar dalam soal pedagogi murid, namun saya percaya terdapat banyak kaedah yang lebih terhormat untuk mendidik anak bangsa kita. Semoga pendidikan negara ini akan membantu mencerdikkan, bukan membodohkan. – Roketkini.com