Berita

Najib wajar minta Teresa tayang video, terjemah dialog ‘Onederful Malaysia CNY 2014’

KUALA LUMPUR, 5 FEBRUARI: Sebelum lebih ramai Menteri UMNO mengaibkan diri mereka, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak wajar menjemput Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim menayangkan video “Onederful Malaysia CNY 2014” dan menterjemah dialog berbahasa Kantonis-Mandarin pada mesyuarat Kabinet, hari ini supaya Menteri UMNO tidak mudah dipesong MCA atau Gerakan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata mungkin video “Onederful Malaysia CNY 2014” itu juga perlu ditayangkan apabila Parlimen bersidang semula 10 Mac nanti dengan Teresa memberikan terjemahan yang tepat bagi dialog berbahasa Cina-Mandarin.

Katanya, Teresa sepatutnya diberikan tahniah, bukannya dikritik kerana menghasilkan video berkenaan yang ditonton hampir sejuta kali di YouTube – lebih banyak ditonton menerusi YouTube berbanding video “Let Them Eat Kangkung” The Effing Show yang mencatatkan tontonan sebanyak 182,634 kali dalam tempoh dua minggu berbanding video Teresa yang mencatat tontonan sebanyak 187,334 kali dalam masa enam hari.

“Tidak semua orang menyukai video “Onederful Malaysia” yang kontroversi itu dan kerana itu ia mendapat 2,631 “like” dan 1,619 “dislike” dalam YouTube.

“Namun hakikat itu tidak menjadikannya hasutan yang perlu disiasat polis sebagaimana kata Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong dalam wawancara dengan Free Malaysia Today kelmarin bahawa tindakan tidak boleh diambil terhadap Teresa atau video Tahun Baru Cina kerana ia tidak mengandungi unsur hasutan,” katanya dalam kenyataannya.

Menurut Leong, kita boleh menyatakan kebimbangan atau meluahkan pendapat tentang isu menerusi bermacam cara, termasuk berpidato, berdebat, menulis rencana, menghasilkan kartun, teater, satira dan sajak yang semuanya bertujuan menyampaikan sesuatu mesej secara aman.
.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, Menteri UMNO tidak sepatutnya salah mentafsir undang-undang semata-mata untuk memenuhi kehendak paling rendah dan
antara pihak pertama yang perlu diberi pendidikan tentang satira politik adalah Menteri Kabinet UMNO, Shafie Apdal dan dan Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Shabery mengecam penampilan Teresa dalam video satira Tahun Baru Cina terbabit sebagai sesuatu yang “tidak padan dengan statusnya sebagai wakil rakyat” dan menganggap video itu “menjengkelkan, lebih meloyakan, lebih menjijikkan.”

Sebelum itu Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah menuduh video Teresa mempersendakan pasukan keselamatan Malaysia serta tragedi pencerobohan ke atas Lahad Datu yang membawa kepada kehilangan nyawa beberapa anggota tentera dan polis.

Tindakan Shafie itu membuatkan polis bertindak dalam masa hanya beberapa jam apabila pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Salleh Mat Rashid mengisytiharkan klip video Teresa akan disiasat kerana mungkin mengandungi hasutan dan fitnah.

Menurut Kit Siang, hakikatnya video Teresa itu tidak mempersendakan pasukan keselamatan kerana ia tidak menyebut tentang pasukan keselamatan atau tragedi pencerobohan Lahad Datu.

Justeru itu, Beliau telah menjemput Shafie bertemu Teresa secara terbuka dan membawa para pakar dan penasihat untuk membolehkan pasukannya pada bahagian mana pasukan keselamatan atau tragedi Lahad Datu dipersendakan dalam satira video berkenaan.-Roketkini.com