Berita

Teresa Kok buat laporan polis, gesa UMNO hentikan serangan politik samseng

KUALA LUMPUR, 5 FEBRUARI: Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok Suh Sim hari ini membuat laporan di Balai Polis Tun HS Lee terhadap individu tidak bertanggungjawab termasuk pemimpin UMNO yang menyerang dan mengganggunya berhubung klip video Tahun Baru Cina ‘One-derful Malaysia’.

Katanya, laporan itu dibuat supaya serangan tidak berpatutan dengan memutar-belitkan klip video kononnya beliau anti-Melayu dan anti-Islam dihentikan segera.

“Saya menerima banyak panggilan telefon daripada individu tertentu yang tidak dikenali sejak 3 Februari lalu, mulai jam 11.44 malam.

“Bukan saja panggilan malah banyak teks pesanan dan whatsapps yang biadap dan mengancam keselamatan diterimanya, termasuk daripada bekas Ahli Parlimen Ketereh dan ADUN Kok Lanas, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad.

“Sebagai warga Malaysia, saya mempunyai hak menghasilkan video satira politik selagi tidak melampau atau bertujuan buruk dan ia merupakan perkara biasa dalam masyarakat kita,” katanya dalam kenyataan, selepas membuat laporan polis.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu menegaskan, satira politik hanya satu daripada medium untuk menjangkau masyarakat bagi meluahkan perasaan rakyat.

Katanya lagi, Presiden Majlis Peguam dan pakar perundangan yang dirujuk juga menyatakan bahawa tidak ada langsung unsur menghasut atau fitnah dalam klip video itu.

Sehubungan itu, tindakan Utusan Malaysia, UMNO dan NGO Pro UMNO memutarbelit dan menuduh beliau menghina orang Melayu jelas tidak ada pucuk pangkal dan sengaja direka.

“Sekiranya anda semua meneliti satira itu, tidak ada sebarang mesej menghina atau berniat memperlekeh mana-mana kaum.

“Menteri UMNO termasuk Datuk Seri Shafie Afdal, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Shabery Chik wajar menghentikan tuduhan terhadap saya. Tonton dulu klip video itu sekali lagi sebelum membuat tuduhan liar.

“Saya juga amat berharap rakyat tidak terperdaya dengan propaganda mainan UMNO dan Utusan ini,” tegasnya.

Turut hadir mengiringi Teresa ialah Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming. -Roketkini.com