Berita

Anwar kalah, PR tersungkur – Tony Pua

SUBANG JAYA, 6 FEBRUARI: Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata, Pakatan Rakyat (PR) mesti memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri DUN) Kajang, 23 Mac ini atau berdepan risiko musnah dan berakhirnya kerjaya politik Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, tumpuan kini harus diberi 100 peratus untuk membantu Anwar memenangi kerusi itu kerana tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melambatkan tarikh pengundian pasti akan memberi peluang Barisan Nasional (BN) menyerang melalui pelbagai cara.

“Anwar adalah pemimpin utama dan jeneral kami (PR), jadi jika beliau kalah ia pasti akan memberi satu impak besar bukan hanya kepada beliau malah PR sendiri.

“Saya bukan bermaksud kami tidak akan berusaha menyambung hayat dengan memberi sokongan tetapi tentunya akan mengambil masa yang sangat lama untuk dipulihkan. Jadi kemenangan adalah perkara mesti kerana ia adalah tanda aras dan batu loncatan PR ke Putrajaya nanti.

“PRK Kajang sangat penting, kalah bermakna PR habis dan sudah boleh melupakan Ubah, Reformasi dan perubahan Kerajaan Persekutuan pada PRU-14 nanti,” katanya dalam Forum Serampang Kajang di Ballroom, Hotel Empire, Subang, semalam.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara itu juga menegaskan, melalui kemenangan Anwar dan memasuki pentadbiran negeri, beliau turut yakin bahawa Selangor akan bertambah baik.

“Saya yakin jika Anwar menang dan kemudian diberi peluang mengambilalih peranan urus tadbir negeri, Selangor akan bertambah baik.

“Kepada soal apakah Anwar akan dilantik Menteri Besar? Saya juga percaya sebagai calon Perdana Menteri, jika dipilih, beliau tentunya dapat menjalankan tugas sebaik mungkin sebagai Menteri Besar,” ujarnya.

SPR semalam menetapkan 23 Mac ini sebagai hari membuang undi PRK DUN Kajang dengan memberi peluang selama 12 hari kepada semua parti politik berkempen selepas penamaan calon pada 11 Mac ini.

Berhubung penetapan tarikh yang terlalu lambat dan memberi kelebihan kepada BN itu, Pua turut meminta semua rakyat agar turut serta membantu, sekaligus menangkis kempen habis-habisan BN untuk menyerang PR dan Anwar.

“Pada saya, dengan tarikh yang begitu lambat, sudah tentu memberi peluang BN menyerang kami daripada pelbagai sudut.

“Atau mungkin mereka tidak mempunyai calon setaraf dan memerlukan masa lebih untuk meyakinkan Lee Chong Wei supaya bertanding.

“Apapun kemungkinannya, saya menyeru semua rakyat Malaysia, penduduk negeri agar dapat membantu PR memenangi PRK Kajang kerana ia adalah pemangkin kepada perubahan,” katanya. -Roketkini.com