Berita

DAPSY ikrar bantu kempen pastikan Anwar menang PRK Kajang

KUALA LUMPUR, 6 FEBRUARI: Pemuda DAP Kebangsaan (DAPSY) hari ini menyatakan sokongan penuh pencalonan Ketua Pembangkang mewakili Pakatan Rakyat (PR) bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, 23 Mac ini.

Ketuanya, Teo Kok Seong berkata, sokongan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor penting yang dianggap sebagai langkah strategik PR dalam meneruskan usaha dan agenda pembaharuan.

“Ketokohan dan pengalaman Anwar sebagai pemimpin utama pembangkang, bekas Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kewangan juga antara faktor penting yang memperlihatkan beliau adalah calon paling berkualiti.

“Kemahiran dan iltizam beliau sebagai bekas ketua pentadbir pastinya akan dapat membantu negeri Selangor menjadi model kerajaan reformasi yang lebih unggul dan disegani.

“Selangor adalah sebuah negeri dalam kelas tersendiri, memerlukan suntikan semangat dan usaha yang lebih tuntas demi mendepani cabaran lebih besar dan berkesan terhadap rakyat secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, DAPSY juga bersedia memberi bantuan agar Anwar mencapai kemenangan.

“DAPSY berikrar akan bekerja dan membantu dalam kempen bersama dengan rakan PR demi memastikan kemenangan Anwar.

“Kami juga akan memastikan kempen PRK kali ini berjalan lancar, bersih dan penuh beretika,” tegasnya.

Ahli Parlimen DAP Rasah juga menolak anggapan sesetengah pihak bahawa PRK Kajang merupakan pembaziran wang rakyat dan ia selaras dengan prinsip demokrasi yang mengembalikan suara rakyat untuk memilih wakil mereka.

Katanya, PRK Kajang juga adalah referandum kepada tindakan Kerajaan BN mengurangkan subsidi petroleum, pemansuhan subsidi minyak serta membenarkan kenaikan tarif elektrik yang secara langsung memberi kesan terhadap kenaikan harga barangan dan kos sara hidup rakyat.

“Kemenangan PR di Kajang dengan majoriti yang lebih besar kelak akan menjadi tanda aras penolakan rakyat terhadap dasar ekonomi dan sosial kerajaan minoriti BN.

“Maka jelas, PRK Kajang sangat signifikan dengan suasana sosio-politik mutakhir ini,” ujarnya. -Roketkini.com