KUALA LUMPUR, 6 FEBRUARI: Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, pendapatan per kapita negeri iaitu RM41,000 yang diumumkan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud bercanggah dengan angka rasmi Parlimen dan tidak menunjukkan keadaan sebenar rakyat negeri itu.
Katanya lagi, kerajaan negeri memutarbelitkan statistik semata-mata untuk menggambarkan keadaan ekonomi negeri baik.
“Ia tidak memberi sebarang makna kepada rakyat negeri.” katanya, memetik laman Malaysiakini.
Ahli Parlimen Kuching itu berkata, angka itu berbeza berbanding jumlah yang diperolehnya di Parlimen tahun lalu, di mana pendapatan negara kasar (GNI) adalah RM33,000.
“GNI per kapita Sarawak lebih rendah daripada negara dan tentunya kurang daripada RM41,000 seperti yang diumumkan kerajaan negeri.
“Angka itu menggambarkan empat sekeluarga (purata jumlah per isi rumah negeri), pendapatan keluarga bagi setiap isi rumah adalah RM164,000 setahun. Namun kira-kira 99 peratus keluarga di Sarawak tidak memiliki pendapatan setinggi itu,” katanya.
Pengumuman itu juga menggambarkan pendapatan per kapita negeri akan mencapai RM100,000 pada 2030.
Memetik tinjauan pendapatan isi rumah terbaru yang dibuat pada 2012, beliau berkata, purata bagi negara adalah RM5,000 sebulan dan Sarawak RM4,293 sebulan, bermakna jumlah tahunan bagi Sarawak tahun itu adalah RM50,000.
“Satu-satunya penjelasan adalah sejumlah besar pendapatan jatuh ke tangan golongan tidak sampai satu peratus daripada jumlah penduduk,” katanya lagi.
Justeru, beliau menggesa Abdul Taib menjelaskan percanggahan jumlah daripada kerajaan negeri dan persekutuan, dan penumpuan kekayaan negeri kepada golongan kecil.
“Kerajaan negeri perlu berhenti bermain dengan statistik serta memberi gambaran palsu berhubung ekonomi negeri, sebaliknya tumpu perhatian kepada isu sebenar – pendapatan rakyat umum yang sukar mencapai kos sara hidup.
“Melihatkan jurang pendapatan yang besar, jika RM100,000 per kapita menjadi realiti, lebih daripada 99 peratus rakyat negeri tidak akan menikmatinya,” katanya lagi. -Roketkini.com