Berita

Tangguh naik tol hanya taktik legakan hati pengundi PRK Kajang

KUALA LUMPUR, 6 FEBRUARI: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menganggap pengumuman kerajaan bahawa tiada sebarang kenaikan tol tahun ini hanya taktik oportunis untuk melegakan hati pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, 23 Mac ini.

Beliau berkata, pengumuman itu tidak mengubah apa-apa kerana kerajaan terpaksa membayar pampasan RM400 juta kepada syarikat konsesi bagi menyekat kenaikan.

“Kerajaan BN hanya berubah nada, namun tidak pada kata-katanya apabila syarikat konsesi masih mengaut untung dengan pampasan RM400 juta.

“Ia bukan jalan penyelesaian yang tepat memandangkan RM400 juta ditanggung dan dibayar rakyat. kenapa beberapa syarikat konsesi mendapat faedah hasil kerugian 28 juta rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, katanya, kerajaan terpaksa membayar pampasan sekali lagi jika tidak ingin kadar tol dinaikkan pada 2015.

“Langkah demi PRK Kajang ini menunjukkan BN sudah lupa bagaimana mentadbir dan hanya memerintah sehari demi sehari berdasarkan tujuan politik dan bukan untuk kepentingan umum,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Pengumuman kerajaan akan menaikkan kadar tol tahun ini mengundang kemarahan rakyat, kerana bertentangan dengan janji mereka dalam manifesto BN pada PRU-13.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada satu sidang media di Putrajaya mengumumkan, tiada kenaikan tol tahun ini kerana kerajaan akan membayar pampasan RM400 juta kepada syarikat konsesi.

Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan menggesa kerajaan mencari jalan untuk mengadakan rundingan semula perjanjian konsesi serta menggubal undang-undang baru jika perlu.

“Perlu ada had pada kadar keuntungan dan tempoh (konsesi) dan jika tidak, Parlimen perlu menggubal untuk mengadakannya. Ia perlu dibentuk bagi menghadapi kontrak yang membebankan rakyat dan benarkan kontrak itu dikaji dari semasa ke semasa,” katanya.

Katanya lagi, beliau sendiri sudah berulang kali membawa isu itu ke Parlimen.

“Walaupun kerajaan ada berjanji sebelum ini untuk mencari penyelesaian tapi jelas tiada yang terhasil. Bagi saya, mereka tiada kesungguhan menyelesaikan masalah ini sepenuhnya,” katanya lagi. -Roketkini.com