Berita

Lim Kit Siang gesa polis bertindak terhadap NGO tawar ganjaran RM1,200 untuk tampar Teresa Kok

KUALA LUMPUR, 7 FEBRUARI: Institusi utama negara, terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak wajar bersikap berat sebelah atau double standard sebaliknya bertindak secara lebih profesional dalam menjalankan tugas, urus tadbir yang baik, akauntabiliti dan telus dalam menangani pelbagai isu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, polis tidak sepatutnya berdiam diri dengan tindakan kelompok enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengadakan demonstrasi petang semalam dan menawarkan ganjaran RM1,200 kepada sesiapa yang menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.

Beliau yakin polis akan bertindak segera jika perkara yang sama dilakukan NGO yang menawarkan ganjaran RM1,200 kepada sesiapa yang berani menampar Perdana Menteri dan melumurkan darah ayam pada kain rentang yang memaparkan gambar menteri UMNO, termasuk Timbalan Perdana Menteri.

“Bayangkan apa yang polis akan dilakukan jika NGO berkenaan mengadakan demonstrasi dan menawar ganjaran RM1,200 kepada sesiapa yang berani menampar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan menyediakan bukti fotografi tindakan mereka, diikuti penyembelihan dan menyapu darah ayam pada kain rentang yang memaparkan gambar menteri UMNO termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin?,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, PDRM yang diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu mengambil tindakan segera terhadap 30 penunjuk perasaan daripada enam NGO kerana melanggar Akta Perhimpunan Aman kerana tidak memberi polis minimum 10 hari mengadakan perhimpunan itu.

Menurut beliau, enam NGO itu sudah pasti tidak sempat melakukan penyembelihan ayam jika mereka dimasukkan ke dalam “Black Maria” sebelum berkumpul, kerana polis mungkin sudah tahu perkara itu lebih awal.

“Pasukan Cawangan Khas antara yang terbaik seumpamanya di dunia, bukan mengumpul risikan untuk melindungi rejim sekarang sebaliknya memberi keutamaan dalam masyarakat yang benar-benar demokratik, menggalak dan melindungi demokrasi berparlimen dan hak asasi manusia.

“Saya yakin Cawangan Khas sudah tahu lebih awal demonstrasi yang dirancang kelompok enam NGO yang menggelarkan dirinya sebagai Majlis NGO Islam, terdiri daripada Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah (Pekida), Pertubuhan Kebajikan Insan Bakti Malaysia (Perkib), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM).

“Sehingga kini, pihak polis dan kerajaan Barisan Nasional membisu dengan tindakan provokatif dan demonstrasi menghasut kebencian kaum dan agama dan mengancam satu lagi 13 Mei di negara ini berhubung video “Onederful Malaysia CNY 2014” yang menyatakan kegagalan BN dan kelemahan kerajaan, bukannya mengancam kebencian kaum dan agama,” katanya.

Menurut Kit Siang, jika pengkritik boleh membuktikan video Teresa merujuk kepada anti-Melayu dan anti-Islam, beliau akan meminta Teresa melakukan pembetulan sewajarnya.

Beliau juga kesal dengan sikap Presiden MCA baru, Datuk Liow Tiong Lai dan Timbalannya, Datuk Dr Wee Ka Siong, seperti yang turut mengecam video Teresa, tidak dapat membuktikan ada unsur anti-Melayu atau anti-Islam dalam video itu.-Roketkini.com