Berita

Ganjaran RM1,200 tampar Teresa: Polis perlu segera bertindak – Zairil

KUALA LUMPUR, 7 FEBRUARI: Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap kumpulan Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia kerana menawarkan ganjaran RM1,200 kepada mereka yang berani menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Katanya, ganjaran pada mulakan hanya RM500 itu ditawarkan pada perhimpunan berhampiran Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur yang dilihat sebagai provokasi terbaru untuk mencetuskan ketegangan kaum.

Zairil berkata, tiada sebab bagi polis tidak mengambil tindakan, memandangkan ia adalah satu ugutan yang dibuat kepada umum dan secara terbuka, malah individu yang terbabit juga dirakam dalam gambar dan video.

“Jelas, ia adalah ugutan berbahaya. Polis perlu mengambil tindakan segera. Siapa yang akan bertanggungjawab jika keselamatan Teresa terancam?” katanya ketika dihubungi.

Sehubungan itu, beliau berharap polis tidak mengulangi sejarah, apabila laporan demi laporan berhubung insiden provokasi dan ancaman yang dibuat dibiarkan tanpa sebarang tindakan.

Teresa dijangka membuat laporan polis berhubung ugutan itu di Balai Polis Tun HS Lee, Jalan Stadium, di sini, hari ini.

Perhimpunan semalam dipercayai sebagai reaksi berhubung klip video satira ‘One-derful Malaysia’ yang mengandungi kritikan terhadap isu ekonomi, keselamatan dan pemborosan pemerintah yang dihasilkan Teresa.

Ia turut menyaksikan kumpulan itu menyembelih beberapa ekor ayam dan melumurkan darahnya ke atas kain rentang yang memaparkan gambar Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Ahli Dewan Undangan Negeri Machang Bubuk, Lee Khai Loon, serta Teresa sendiri.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu juga membidas kumpulan yang menggunakan nama Islam, walaupun tindakan mereka itu bertentangan ajaran Islam.

“Mereka menggunakan nama Islam, tetapi perbuatan mereka tidak langsung mencerminkan Islam serta bertentangan dengan ajaran Islam, budaya Melayu dan Malaysia.

“Mereka juga membunuh haiwan dengan sewenangnya macam acara korban (sacrifice) seperti penganut ajaran sesat,” katanya lagi.

Beliau berkata, berikutan insiden itu kerjasama antara Pakatan Rakyat dan BN mengenai isu perkauman dan agama yang diajukan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat perlu dipercepatkan.

“Strategi keganasan ini nampaknya sudah melampau batasan. Apa-apa perbincangan perlu disegerakan bagi menangani perkara itu,” katanya lagi. -Roketkini.com