Berita

PR kecam NGO cetus provokasi sembelih ayam, tawar wang tampar Teresa

KUALA LUMPUR, 7 FEBRUARI: Pakatan Rakyat (PR) mengecam tindakan sekumpulan NGO yang melakukan provokasi melampau terhadap empat wakil rakyat serta menawar ganjaran RM1,200 kepada sesiapa yang menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.

Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo menyifatkan tindakan itu sebagai provokasi ugutan yang ‘paling memalukan’ dan tidak bertanggungjawab serta tidak boleh dibiarkan tanpa sebarang tindakan.

“Kami mendesak polis mengambil tindakan tegas kepada mereka yang terbabit dengan segera. Mereka jelas melakukan tindakan jenayah dan perlu ditangani sewajarnya.

“Malaysia tidak boleh dikenang sejarah sebagai negara di mana keganasan seumpama ini dibiarkan berikutan kelemahan kerajaan dan polis untuk menegakkan undang-undang dan menjaga keamanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, kira-kira 50 orang yang menggelarkan diri mereka sebagai Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia berhimpun berhampiran Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur.

Mereka menyembelih beberapa ekor ayam dan melumurkan darah ayam kepada kain rentang yang tertera gambar Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Ahli Dewan Undangan Negeri Machang Bubuk, Lee Khai Loon dan Teresa, serta menawarkan RM1,200 kepada individu yang menampar Teresa dan merakamnya.

Mengulas isu sama, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan melampau itu hanya akan mencetuskan suasana tidak harmoni serta memberi persepsi negatif terhadap Islam.

“Jika tidak bersetuju dengan Teresa, anjurlah debat dengan sambil menonton video itu dan tunjukkan di mana yang dituduh menghina.

“Cukuplah bermain isu agama dan bangsa, pada masa ekonomi negara semakin malap dan nilai ringgit jatuh ke paras terendah RM2.624 berbanding mata wang Singapura,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, N Surendran berkata, tindakan penyembelihan itu adalah satu tindakan jenayah mengikut Seksyen 44 dan Seksyen 69 Akta Haiwan 1953.

“Tiada sebarang keadaan yang membolehkan haiwan disembelih hanya untuk membuat hujah politik. Seksyen 69 pula membolehkan polis menangkap ahli NGO yang terbabit tanpa waran kerana menganiaya haiwan,” katanya.

Beliau turut menggesa UMNO dan BN, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar tidak berdfiam diri yang menggambarkan beliau dan kerajaannya menyokong tindakan NGO pro-kerajaan yang sering mencetuskan provokasi dan melanggar undang-undang. -Roketikini.com