Berita

Teresa Kok buat laporan polis terhadap NGO lumur darah ayam

KUALA LUMPUR, 7 FEBRUARI: Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok Suh Sim hari ini membuat satu lagi laporan polis terhadap tindakan sekumpulan NGO yang membantah dengan membangkitkan sentimen perkauman terhadap dirinya dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Tun HS Lee, pagi tadi bersama beberapa pemimpin DAP dan PR.

“Pada perhimpunan itu, mereka melumurkan darah pada kain rentang yang memaparkan gambar saya, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang dan Lee Khai Loon. Mereka juga menawarkan ganjaran RM500 kepada individu yang menampar saya.

“Apa yang mereka lakukan itu adalah ugutan terhadap keselamatan saya dan jelas mencabuli undang-undang.

“Saya meminta polis menjalankan siasatan terhadap kumpulan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh menegaskan, perhimpunan itu mungkin diadakan semata-mata untuk mengalih tumpuan terhadap isu sebenar yang lebih serius.

“Mereka kata ia keluar daripada mulut saya, padahal saya langsung tidak menyebut atau menghina umat Islam, Melayu atau Yang Dipertuan Agong dalam klip video satira Tahun Baru Cina baru-baru ini.

“Saya amat kesal dengan tindakan NGO terbabit,” ujarnya.

Antara pimpinan DAP dan PR yang turut hadir menyatakan sokongan kepada Teresa ialah Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh; Timbalan Ketua Muslimat Dewan Muslimat PAS, Dr Siti Mariah Mahmud; Ahli Parlimen DAP Bukit Bintang, Fong Kui Loon; Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh dan lain-lain.

Peserta perhimpunan itu menggelarkan diri mereka sebagai Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia bukan saja melumur darah ayam dan menawarkan RM500, malah mencetak sepanduk dengan ayat ‘Bangsa Cina cauvinis keturunan kangkung, nenek dan nyonya kepala perkauman, rasuah, nepotisme dan kronisme, 13 Mei 1969 dalam igauan’.

Laporan portal The Malaysian Insider juga menyatakan, Jurucakap NGO itu dari Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Zulkifli Sharif menaikan tawaran kepada individu yang berjaya menampar Teresa kepada RM1,200.

Dalam pada itu, Teresa turut memaklumkan, sehingga kini pihak polis juga masih belum membuat siasatan berhubung laporan yang dibuat pada 5 Februari lalu mengenai serangan sms beberapa pihak termasuk pimpinan UMNO terhadap dirinya.

“Saya amat berharap, laporan beberapa hari lalu juga sepatutnya diberi perhatian serius dengan menyatakan bahawa mereka membuka siasatan.

“Polis wajar membuat siasatan segera kerana sehingga kini saya masih menerima menerima sms ugutan dan cercaan,” tegasnya. -Roketkini.com