Rencana

Debat Kebudayaan DAP-GERAKAN 1968 – Muhammad Nazreen

KONSEP demokrasi kebudayaan menerima kritikan daripada pelbagai pihak. Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Senu Abdul Rahman menganggap dokumen ‘Demokrasi Kebudayaan DAP’ ini sebagai dokumen yang rasis. Tetapi, di dalam banyak kritikan, salah satu kritikan yang penting datang daripada tokoh akademik ulung, Professor Syed Naguib Al-Attas yang ketika itu, mewakili Gerakan di dalam satu rapat umum di Seremban pada 26 Oktober 1968 menyerang konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang dianggap beliau sebagai mengarut dan tidak masuk akal.

Berikutan polemik ini, Lim Kit Siang, pemimpin muda DAP membalas kenyataan melalui akhbar dengan mengatakan bahawa Professor Syed Naguib tidak membaca dokumen berkenaan sehingga habis dan melakukan pertimbangan melulu. Pertelingkahan di antara Prof Syed Naguib dan Lim Kit Siang tidak berkesudahan di situ sahaja. Debat yang pada awalnya bermula dengan konsep Malaysian Malaysia kini bertumpu kepada persoalan halatuju Bahasa Melayu, kesusasteraan dan halatuju pembinaan bangsa Malaysia.

Setelah digasak beberapa kali di dalam akhbar, Professor Syed Naguib Al-Attas dan Lim Kit Siang bersetuju untuk bertemu di dalam satu debat penting yang dinamakan sebagai Debat Kebudayaan DAP-Gerakan 1968 . Debat ini berlangsung di Auditorium MARA, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur yang bermula kira-kira jam 10 pagi dan berakhir jam 4.30 petang. Debat ini dipengerusikan oleh Prof Taib Osman yang merupakan Dekan Fakulti Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Di dalam debat ini, Professor Syed Naguib menekankan bahawa sastera dan kebudayaan Melayu sahaja yang wajar dianggap sebagai dasar kebudayaan Malaysia. Beliau memberikan hujah bahawa khazanah kesusasteraan alam Melayu mestilah berbahasa Melayu dan menyebarkan idea mengenai Melayu. Prof Al-Attas memberikan contoh bahawa tokoh pemikir Melayu seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin Ar-Raniri dan Abdul Rauf Singkel merupakan sebahagian daripada khazanah dan kebudayaan Malaysia. Malah, karya sastera tulisan Chairil Anwar, Tengku Amir Hamzah dan sasterawan Indonesia yang lain adalah akar kepada kebudayaan Melayu.

Lim Kit Siang pula menawarkan hujah yang sebaliknya. Bagi Kit Siang, karya yang menceritakan tentang Malaysia sekalipun dalam bahasa selain daripada bahasa Melayu seperti bahasa Inggeris, Cina dan Tamil perlu dianggap sebagai sastera Malaysia. Kit Siang mengemukakan persoalan adakah karya berbahasa Inggeris seperti tulisan Han Su Yin yang penuh dengan unsur keMalaysiaan wajar mendapat pengiktirafan sebagai asas kebudayaan Malaysia. Kit Siang memberikan contoh bagaimana karya berbahasa Inggeris tokoh pujangga India, Rabindranath Tagore turut diangkat sebagai warisan kesusasteraan India.

Polemik ini bertambah menarik apabila Kit Siang secara sinisnya menyindir Prof Al-Attas bahawa golongan berhaluan kanan di dalam UMNO seperti Senu Abdul Rahman pun tidak mengeluarkan pendapat yang ‘ekstrim’ untuk menuntut kebudayaan Indonesia sebagai kebudayaan Malaysia. Debat kebudayaan DAP-Gerakan 1968 ini menjadi teras kepada pembentukan Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 setelah Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang dianggotai sekumpulan ilmuwan terkemuka seperti  Prof Syed Naguib Al-Attas, Prof Khoo Kay Kim, Dauk Aziz Deraman, Prof Asmah Haji Omar, Prof Taib Osman dan ramai lagi.

Sosialisme demokratik menuju demokrasi sosial

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘Jalan Tengah’? Pernahkah anda mendengar konsep ‘Sosialisme bukan sosialisme, kapitalisme bukan kapitalisme?’ Setiap parti politik mengalami transisi daripada suatu ideologi kepada ideologi yang baru supaya bersesuaian dengan kehendak semasa. DAP juga tidak terlepas daripada evolusi perubahan ideologi.

DAP bermula sebagai sebuah parti politik berideologikan sosialisme sederhana. Namun, sempena ulang-tahun parti yang ke-40 pada 2006, konsensus yang dibuat di peringkat pimpinan pusat mencadangkan bahawa DAP menukar ideologi Sosialisme Demokratik kepada Sosial Demokrasi .

Jika pada awalnya pimpinan DAP bersetuju dengan usaha memiliknegarakan hasil negara demi mencapai tujuan kebajikan sosial, kini DAP menerima konsep pasaran bebas yang berasaskan persaingan yang adil dan saksama. Konsep ini masih mementingkan peluang sama rata yang harus dianugerahkan kepada mereka yang layak, tetapi pada masa yang sama mengekalkan agenda untuk membasmi kemiskinan dan pembangunan konsep negara berkebajikan.

Ideologi demokrasi sosial ini pada mulanya diperkenal oleh seorang pemikir dari Jerman bernama Thomas Meyer. Meyer menerangkan secara khusus konsep demokrasi sosial di dalam bukunya, The Theory of Social Democracy (2005). Meyer melihat bahawa demokrasi hanya boleh berfungsi di dalam sistem pasaran yang bebas dengan syarat setiap individu wajar diberi peluang yang sama mengikut kemampuan masing-masing.

Konsep pasaran bebas yang dikemukakan Thomas Meyer lebih mudah untuk diterangkan menerusi analogi ini. Seorang peniaga pasar malam mempunyai kemampuan untuk bersaing dengan peniaga pasar malam yang lain, tetapi adakah seorang peniaga pasar malam dapat bersaing secara adil dengan pemilik restoran eksklusif di Bukit Bintang, Kuala Lumpur? Pada masa yang sama, kerajaan tidak sepatutnya masuk campur di dalam menentukan apa yang mahu dijual di pasar malam.

Tugas kerajaan yang sepatutnya adalah membantu peniaga pasar malam untuk menjadi usahawan yang berjaya menerusi skim bantuan mikro-kredit, program usahasama bersama persatuan peniaga atau apa sahaja mekanisme yang berkesan.

Jadi, konsep demokrasi ekonomi di dalam pasaran bebas, sepertimana yang dijadikan pegangan di dalam sosial demokrasi adalah setiap individu berhak menerima peluang yang saksama. Tugas kerajaan, seperti yang dimaklumkan hanya untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan dan bukannya mengawal pengeluaran ekonomi negara.

Perubahan ideologi DAP daripada sosialisme demokratik kepada demokrasi sosial bermula dengan perbincangan terhadap konsep ‘Third Way’ yang dipopularkan oleh pakar sosiologi dari Britain, Anthony Giddens. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab untuk merangka dasar Parti Buruh di bawah pimpinan Tony Blair. Ketika Tony Blair memimpin Parti Buruh, usaha ke arah reformasi Parti Buruh pun dimulakan. Beliau melihat bahawa Parti Buruh tidak harus lagi kekal sebagai parti yang mewakili kelas pekerja sahaja. Pada 1997, reformasi idealogi berjaya membentuk semula perjuangan Parti Buruh yang baru sehingga dikenali sebagai ‘New Labour’.

Ideologi ‘Middle Way’ atau ‘Jalan Tengah’ yang diusulkan oleh Anthony Giddens ini adalah eksperimen awal untuk memurnikan kelompok kiri dan kanan dalam politik di Britain. New Labour mula menggerakkan wacana tentang konsep pasaran bebas, tetapi pada masa yang sama menekankan peranan kerajaan untuk melaksanakan kebajikan sosial untuk rakyat British.

Menurut Anthony Giddens :

The only common characteristic of socialist doctrines is their ethical content. Socialism is the pursuit of ideas of social cooperation, universal welfare, and equality – ideas brought together by a condemnation of the evils and injustices of capitalism. It is based on the critique of individualism and depends on a ‘belief in group action and “participation”, and collective responsibility for social welfare’.

—Anthony Giddens, Beyond Left and Right: The Future of Radical Politics.

Konsep ini bersesuaian dengan teori sosial demokrasi yang dibangunkan oleh pemikir seperti Andre Gunther Frank, Tony Judt dan Thomas Meyer. Sosial demokrasi menekankan beberapa prinsip utama iaitu:

  1. Menerima konsep pasaran bebas yang terkawal

  2. Menuntut peluang yang sama-rata untuk setiap individu dari segala hal yang melibatkan dasar ekonomi dan sosial

  3. Memelihara hak masyarakat minoriti untuk mendapat tempat dan representasi sewajarnya di dalam masyarakat

  4. Kerajaan perlu memainkan peranan untuk mengukuhkan institusi awam selaras dengan nilai demokratik

  5. Kerajaan perlu memastikan kebajikan sosial dan hak asasi setiap individu dilindungi.

Berdasarkan konsep ini, pimpinan parti DAP mula memikirkan strategi bagaimana untuk menjadikan perjuangan politik mereka lebih pragmatik dan berkesan. Dasar yang dilaksanakan pimpinan DAP dan Pakatan Rakyat Pulau Pinang sejak 2008 menunjukkan kesungguhan DAP di dalam memperjuangkan idea sosial demokrasi.

Pengenalan konsep ‘open tender’ berjaya dimanfaatkan kontraktor kelas rendah, terutamanya di kalangan Bumiputera untuk mendapat tender daripada kerajaan. Dasar perumahan mampu milik, sistem pengangkutan awam yang berkesan serta mengiktiraf ‘Freedom of Information’ merupakan langkah yang dibangunkan DAP bersesuaian dengan matlamat sosial demokrasinya.

Penulis menjangkakan bahawa pembaca dapat menjernihkan kekalutan yang menghantui DAP selama ini. DAP hanya sebuah parti politik yang komited ke arah budaya demokrasi, adil dan saksama. Jadi, soalannya adalah: Apakah ideologi yang dipegang DAP?

Ideologi DAP tidak lain dan tidak bukan: Sosialisme bukan sosialisme, kapitalisme bukan kapitalisme! – Roketkini.com

Baca bahagian awal rencana ini:

Bhg 1: Sosialisme bukan sosialisme, kapitalisme bukan kapitalisme – Muhammad Nazreen

Bhg 2: Antara DAP dan Gerakan, sama tapi berbeza – Muhammad Nazreen