Rencana

Belek – Dah baham betis, nak paha pula

belekMINGGU lalu sewaktu belek-belek berita semasa terbaca berita mengenai spekulasi Taib Mahmud sudah mahu turun selepas 33 tahun berkuasa.

Mana-mana manusia waras dan tahu macam mana Sarawak di’akikah’kan oleh Taib dan konco-konco, tentu terdetik sikit rasa gembira. Walaupun tahu kemungkinan besar kuasa menjarah Sarawak cuma berpindah tangan daripada ‘buaya’ kepada ‘biawak’. BN tetap BN.

Namun terkejut yang tak berapa terkejut juga apabila belek-belek berita beberapa hari ni, ternampak khabar Taib Mahmud akan dicadangkan menjadi Yang di-Pertua Negeri. Kita sangka dia sudah bersendawa puas menjamah kuasa lalu mahu berehat. Rupanya tidak!

Katanya, Taib mahu dicadangkan menjadi Yang Dipertua Negeri bagi “menghargai sumbangan besar Taib sebagai Ketua Menteri, bukan sahaja kepada Sarawak tetapi juga kepada negara.”

Barangkali ada benarnya. Sumbangan terbesar Taib tentulah kejayaannya membuktikan bahawa orang Sarawak sebenarnya kaya raya.

Selama ini jika sebut Sarawak, yang terlintas di fikiran adalah rakyatnya yang serba kekurangan. Masih ramai tidak dapat merasa kemudahan asas sehingga DAP perlu melancarkan program Impian Sarawak bagi membantu mereka.

Taib berjaya menghapuskan stigma itu dengan membuktikan dirinya tidaklah hidup fakir sebaliknya kaya raya. Ahli keluarganya juga begitu. Sebuah akhbar arus perdana baru-baru ini melaporkan seorang daripada anaknya Mahmud Abu Bekir mempunyai aset bernilai sekitar RM976 juta hingga RM1.39 bilion. Itu anak, takkan bapak nak kalah.

Terbukti rakyat Sarawak sebenarnya hidup mewah, bukan seperti yang selalu dibayangkan, kan?

Itu belum kira lagi bagaimana Taib berjaya membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa. Bukankah sebuah NGO Switzerland Bruno Manser Fund (BMF) pernah mendedahkan satu laporan menggemparkan bahawa aset keluarga Taib Mahmud sebanyak US$21 billion (RM64 billion)?

Lihat, orang luar pun memandang kepada Taib dan Malaysia!

Apapun, jelas nampaknya Taib bukan turun daripada jawatan Ketua Menteri, sebaliknya ‘naik pangkat’ menjadi Yang di-Pertua Negeri.

Teringat dalam satu drama bersiri Cina di TV suatu masa dulu, watak yang gilakan kuasa dikutuk, “Mula-mula nak jadi Menteri, kemudian nak jadi Maharaja, selepas itu nak jadi tuhan”. Begitulah lebih kurang ayatnya.-Roketkini.com