Berita

Gagal banteras rasuah, mungkinkah Menteri Datuk Paul Low letak jawatan? – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 10 FEBRUARI: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mempertikaikan adakah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low akan mengikut jejak langkah P Waythamoorthy meletakkan jawatan, selepas hilang keyakinan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Waythamoorthy dijangka meletakkan jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Senator hari ini kerana kegagalan kerajaan memenuhi janji dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani BN dan Hindraf sebelum PRU-13.

“Persoalan sekarang, adakah Paul Low akan ikut jejak langkah Waythamoorthy kerana semua orang sangat jelas, kecuali beliau sendiri, bahawa Najib tiada iltizam politik untuk melawan rasuah dan salah guna kuasa.

“(Sebelum ini) beliau meminta sokongan rakyat untuk berjuang agar badan kehakiman, Pejabat Peguam Negara, Jabatan Audit Negara, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas daripada kawalan politik.

Beliau membawa rakyat ke jalan sia-sia ke arah perlawanan yang tak mungkin menang,” katanya dalam satu kenyataan.

Paul Low yang sebelum ini menjadi Presiden Transparency International – Malaysia (TI-M) dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam hal-ehwal integriti dan rasuah, selepas PRU-13.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu juga bertanya, apakah tindakan Paul Low berhubung tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang jelas mencampuri bidang kuasa polis dalam kes tertentu, antaranya intimidasi jenayah ke atas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok baru-baru ini.

Katanya, rasuah dan salah guna kuasa bukan sekadar untuk kepentingan peribadi dan wang ringgit, namun juga meliputi keuntungan politik kepartian, seperti yang ditunjukkan Zahid.

“Oleh kerana beliau menyeru sokongan rakyat berhubung usahanya menjaga institusi seperti polis daripada kawalan politik, beliau perlu beritahu rakyat Malaysia apa yang beliau telah lakukan untuk halang Zahid daripada masuk campur?

“Atau adakah beliau terima memang kuasa Zahid untuk keluarkan perintah kepada semua polis agar tidak siasat laporan ke atas ancaman yang dibuat Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia Khamis lalu,” soalnya.

Katanya lagi, dalam masa sembilan bulan menjadi menteri, Paul Low tidak ada apa-apa untuk ditunjukkan kerana rakyat terus tiada keyakinan terhadap integriti badan kehakiman, Pejabat Peguam Negara dan SPRM, malah kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah TI terus masih di takuk lama.

“Jadi, adakah Paul Low akan ikut jejak langkah Waythamoorthy untuk letak jawatan kerana tiada siapa yang percaya Najib mampu melawan rasuah dan salah guna kuasa menteri dan pegawainya,” katanya lagi. -Roketkini.com