Rencana

Muhibah yang lama dilupakan – Haris Zuan

KETIKA tulisan ini disiapkan, masih terdapat banyak lagi limau Mandrin di dapur saya. Pekerjaan baru saya kini memerlukan saya hadir banyak acara rumah terbuka dan lain-lain perayaan – sungguh pun kadang-kala meletihkan (tekak saya mula menolak untuk menelan limau Mandarin) tetapi saya tetap teruja untuk memahami dan mendekati kebudayaan Malaysia – ya, saya tegaskan, kebudayaan Malaysia.

Pekerjaan baru saya ini juga menyebabkan saya menerima banyak laporan berkenaan ‘masalah’ yang ditimbulkan akibat acara keagamaan dan kebudayaan yang berlangsung sekian banyak untuk tempoh sebulan dua ini. Aduan ini pada saya adalah sahih dan merupakan sebahagian (bukan keseluruhan) daripada sentimen di peringkat paling dasar masyarakat terbanyak di negara ini, namun amat penting untuk tidak kita kesampingkan. Segala aduan dan rungutan ini membuatkan saya banyak berfikir dalam konteks pekerjaan saya kini di peringkat kerajaan tempatan; bagaimana untuk kerajaan tempatan dapat memastikan kelancaran perjalanan segala aktiviti perayaan keagamaan serta kebudayaan dan dalam masa yang sama menangani segala aduan dan rungutan orang ramai.

Ya, sekian banyak acara kebudayaan di dunia ini dilaksanakan di tengah-tengah kota yang sesak dengan manusia dan padat dengan segala aktiviti ekonomi lainnya, namun masih dapat menikmati acara kebudayaan yang diadakan di jalanan. Antara acara jalanan yang paling ikonik di dunia pastinya Rio Carnival yang diadakan di Rio de Janeiro, Brazil dengan dianggarkan hampir 2 juta manusia berhimpun di jalan untuk satu-satu masa.

Meskipun mereka yang berhimpun di jalan raya di Georgetown untuk perayaan Thaipusam tidak sampai dua juta orang (mungkin hanya beberapa ribu orang) namun itu sudah cukup untuk membuatkan sebahagian daripada orang ramai terperangkap untuk tiga jam di atas jalan. Demikian juga apabila ratusan kenderaan menuju ke Tokong Kek Lok Si untuk sambutan Tahun Baru Cina yang menyebabkan Jalan Air Itam sesak teruk.

Saya tidak pernah setuju dengan hujah tiada apa-apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk mengurangkan (meskipun bukan ke tahap mengatasi) setiap rungutan dan aduan ini. Di peringkat kerajaan tempatan, kami bekerjasama dengan polis trafik, polis komuniti, pekerja pembersihan dan persatuan penduduk dan lain-lain agensi bagi menguruskan kesesakan luar biasa ini. Terdapat ratusan anggota bertugas pada hari kejadian dan banyak laluan alternatif disediakan. Namun pastinya segala kerja keras ini belum cukup untuk memuaskan hati semua pihak.

Bercakap soal ketidakpuasan hati, saya juga sedikit aneh apabila menerima sekian banyak rungutan seolah-olah ini kali pertama perayaan ini diadakan – malah saya semakin kecewa apabila membaca rungutan ini dalam media sosial; Facebook dan Twitter yang sebahagiannya dilaporkan dalam portal berita apabila entah secara sengaja atau tidak, ulasan ini dengan mudah terjemus menjadi kenyataan yang berbaur perkauman yang menjengkelkan.

Sikap inilah yang membuatkan saya menginsafi bahawa tugas untuk memastikan kelancaran perayaan agama dan kebudayaan apa pun di negara ini bukan hanya dengan melancarkan aliran trafik semata-mata tetapi yang jauh lebih mustahak adalah melancaran aliran fikiran masayarakat juga. Betapa anehnya masyarakat Malaysia ini (tidak kira apa keturunan pun) yang kononnya begitu berbangga dengan kepelbagaian kebudayaan negara ini tetapi amat sedikit kefahaman akan amalan kebudayaan kaum dan agama lain.

Ada yang merungut apabila terdapat surau yang sesak dan terlalu kuat bunyi pembesar suaranya daripada Maghrib hingga Isyak ketika sambutan Maulidur Rasul, ada yang marah apabila jalan raya ditutup sementara ketika Thaipusam, ada yang tidak puas hati apabila mercun tidak henti-henti ketika Tahun Baru Cina – apakah kita semua ini baru sahaja belajar hidup berjiran? Di manakah anda semua untuk 50 tahun terakhir ini?

Saya sangat optimis dengan masa depan anak semua bangsa di negara ini meskipun begitu saya juga tidak mahu menafikan bahawa dalam kita melalui transisi sosio-politik negara ini ke arah masyarakat yang lebih rasional dan demokratik, masih terdapat mereka yang terperangkap dalam sentimen perkauman. Golongan ini mesti dibantu dan dimerdekakan daripada jebak perkauman yang merugikan. Akan tetapi penyelesaiannya tidak semudah melafazkannya. Cabaran ini tambah rumit apabila bukan hanya satu pihak yang bersikap demikian.

Maka saya yakin, jalan pertama untuk menghancur-leburkan kebencian ini bukan dengan menyediakan manual atau garis panduan setiap kali adanya acara perayaan tetapi dengan menggalakkan lebih ramai orang daripada latar berbilang kaum, agama dan kepercayaan untuk terbabit sama. Hanya dengan cara ini kita akan membina kefahaman dan kemudiannya sikap empati – kemampuan memahami dan merasai secara emosi akan pengalaman orang lain. Sikap ini akan memastikan kita tidak lagi memaki-hamun perayaan orang dan dalam masa yang sama tidak peduli akan perasaan orang lain ketika acara perayaan kita. Baik agama dan budaya apa pun.

Halangan pertamanya pastinya datang daripada sikap sebahagian kita yang khuatir bahawa hadir perayaan kaum dan agama lain akan menjejaskan kepercayaan agama sendiri – satu penghinaan terhadap iman sendiri pada saya. Keduannya adalah cara kita mengelolakan acara perayaan sehingga menyebabkan ada kaum dan agama lain yang merasakan kesalahan untuk mereka hadir sama.

Izinkan saya berkongsi pengalaman saya ketika perayaan Thaipusam ketika mana saya dan seorang lagi teman menyertai sebahagian daripada rakan Cina untuk menjadi sukarelawan bagi mengagihkan susu kepada penganut agama Hindu yang datang ke kuil di Jalan Air Terjun, Pulau Pinang. Susu itu adalah nazar yang mereka buat dan dipersembahkan kepada dewa mereka pada hari Thaipusam. Tugas kami adalah untuk mengumpulkan kembali susu yang dijiruskan ke patung Hindu di dalam kuil, menapisnya daripada segala rempah dan bunga-bungaan untuk diagihkan kembali kepada orang ramai untuk diminum – untuk keberkatan barangkali.

Kelihatan hanya kami berdua merupakan orang Melayu yang datang membantu. Ramai penganut Hindu yang kaget dengan kehadiran kami, malah seorang guru sekolah kebangsaan beragama Hindu yang sentiasa menggalakkan pelajar Cina beliau untuk datang membantu, khuatir jika saya tidak selesa berada di situ. Beliau juga khuatir jika kehadiran saya disalah anggap oleh ‘autoriti’.

Setelah 3 tahun hadir acara ini, saya masih lagi Muslim dan pengalaman ini membantu saya untuk lebih memahami perayaan masyarakat Hindu dalam masa yang sama, saya berharap kehadiran saya dapat membantu masyarakat bukan Melayu-Islam sedar bahawa bukan menjadi kesalahan untuk rakan Melayu-Islam mereka hadir sebagai sukarelawan. Saya mengimani kepercayaan bahawa interaksi sebegini akan membina kembali semangat muhibah yang lama kita lupakan dan pastinya amalan ini diredhai Tuhan.

Marilah bersama-sama menuju Malaysia yang lebih muhibah. – Roketkini.com