Berita

Teresa Kok gesa UMNO, Utusan hentikan tuduhan liar terhadap dirinya dan DAP

KUALA LUMPUR, 10 FEBRUARI: Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok Suh Sim menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan jurucakap partinya, Utusan Malaysia agar segera menghentikan dakwaan perkauman terhadap DAP.

Beliau berkata, mainan fitnah perkauman terhadap dirinya dan DAP wajib segera dihentikan kerana ia langsung tidak mempunyai asas.

“Mingguan Malaysia, Ahad lalu menerusi kolum Awang Selamat tertulis tindakan perlu serta merta dikenakan terhadap saya oleh pihak berkuasa, kononnya jika tidak isyarat yang salah akan dihantar kepada seluruh rakyat bahawa penghinaan negara dan bangsa dibenarkan.

“Kenyataan Awang Selamat itu jelas mempunyai persamaan dengan beberapa individu yang menuduh saya menghina negara, bangsa, agama, raja dan pasukan keselamatan. Tuduhan tanpa sebarang keterangan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Awang Selamat dalam kolum Utusan edisi Ahad turut menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Peguam Negara mengambil tindakan segera terhadap Teresa yang digambarkan kononnya melakukan ‘provokasi sangat bahaya’.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu turut mengecam tindakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang turut menyerang beliau menerusi laman sosial Twitter dengan tuduhan anti-Melayu dan anti-Islam.

Menyenaraikan tulisan dalam Twitter beliau, Teresa berkata, Abdul Rahman secara terang-terangan sebenarnya menyalakan ketegangan kaum dan agama dengan melemparkan tuduhan liar terhadap dirinya dan DAP.

Antara yang tertera dalam Twitter itu adalah termasuk ‘Mungkin DAP tidak faham, untuk orang Melayu, menghina Agong dan Islam adalah lebih menyakitkan dan menjatuhkan maruah daripada menampar’ dan ‘Sejak 2008, DAP tidak berhenti menyerang kedudukan orang Melayu dan Islam. Apabila ada reaksi daripada orang Melayu, DAP bertindak seolah-olah mereka mangsa, Gila’.

“Apa yang dinyatakan Abdul Rahman ini adalah kenyataan paling bahaya dan pembohongan paling besar terhadap DAP. Adakah beliau cuba menghasut orang Melayu, umat Islam dan Raja agar menentang DAP?

“DAP wujud sejak 1966 dan perjuangan kami adalah terbuka untuk semua. Perjuangan DAP untuk semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Kami tidak anti-Raja,” ujarnya.

Teresa menyatakan, walaupun Abdul Rahman mungkin cuba untuk mengalihkan perhatian daripada kos sara hidup yang meningkat dan isu lain, komen seperti itu tidak sepatutnya dibuat.

“Beliau jelas bermain dengan api, inilah dia satu lagi contoh individu yang tidak layak bergelar menteri dan perlu meletakkan jawatan atau dibuang terus daripada Kabinet,” tegasnya. -Roketkini.com