Berita

Satu lagi laporan polis dibuat terhadap NGO himpunan ‘Sembelih Ayam’

MENTAKAB, 11 FEBRUARI: DAP dan Pakatan Rakyat (PR) Pahang hari ini membuat satu lagi laporan polis ke atas enam NGO Melayu yang membuat demonstrasi serta provokasi melampau di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Laporan polis itu dibuat oleh Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji di Balai Polis Mentakab, pagi tadi.

“Tujuan saya membuat laporan polis supaya mereka dapat menyiasat tawaran ganjaran RM1,200 oleh pihak tertentu itu yang jelas melakukan kesalahan jenayah mengikut Seksyen 505 dan Seksyen 506 Akta Jenayah.

“Saya bersama rakan memohon kerjasama pihak polis untuk membuat siasatan segera dan sewajarnya terhadap sesiapa saja yang terbabit,” katanya.

Pada himpunan 5 hari lalu di Jalan Tun Perak berhampiran Puduraya, sekumpulan individu menggelarkan diri mereka sebagai Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia telah melakukan provokasi melampau yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Selain menyembelih dan melumurkan darah ayam terhadap sepanduk tertera wajah pemimpin DAP dan PR, mereka juga menawarkan ganjaran wang tunai kepada individu yang berani menampar muka Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.

Insiden itu dikatakan sebagai respon terhadap klip video satira politik ‘Onederful Malaysia’ sempena Tahun Baru Cina yang dibuat Teresa.

“Kami juga amat dukacita di atas penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tidak menganggap perkara itu sebagai jenayah. Sedangkan, ia merupakan satu perkara berbahaya dan memudaratkan keselamatan Teresa,” ujarnya.

Ketua Pembangkang DUN Pahang itu juga kecewa dengan kenyataan Zahid kerana seolah-olah beliau menggalak orang ramai melakukan jenayah.

Sehubungan itu, beliau memohon pihak berkuasa agama Islam dan Istiadat Melayu agar dapat mengenakan tindakan undang-undang terhadap NGO terbabit yang jelas memburukkan imej agama. -Roketkini.com