Berita

Cara Waythamoorthy tangani masalah masyarakat India salah sejak daripada mula – M Kulasegaran

KUALA LUMPUR, 11 FEBRUARI: Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M Kulasegaran berkata, beliau tidak hairan dengan pengunduran Presiden Persatuan Hindraf Malaysia (PHM), P Waythamoorthy daripada Kabinet, kerana sudah maklum PHM sejak daripada mula menggunakan pendekatan salah untuk menyelesaikan masalah kemiskinan masyarakat India.

Beliau mengulas keputusan Waythamoorthy yang meletakkan jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri semalam, kerana kegagalan kerajaan menangani masalah itu, seperti memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan PHM sebelum PRU-13.

Katanya, PHM hanya melihat kemiskinan masyarakat India secara terpisah daripada keseluruhan masyarakat terpinggir tanpa mengira kaum di Malaysia.

Katanya lagi, ia berbeza dengan Pakatan Rakyat yang melihat masalah itu sebahagian daripada isu kemiskinan seluruh rakyat Malaysia dan tidak menggunakan pendekatan berasaskan kaum.

“Cara Pakatan Rakyat ada peluang lebih besar untuk berjaya kerana ia dapat sokongan semua kaum. Ia juga ada kelebihan apabila melihat kemiskinan sebagai masalah negara, tidak terhad kepada mana-mana kaum,” katanya memetik laman Malaysiakini, 9 Februari lalu.

MoU yang ditandatangani itu menggariskan janji BN antaranya memulihkan keadaan pekerja estet, menyelesaikan masalah kewarganegaraan dan peluang pekerjaan serta pendidikan.

PHM pula menjanjikan undi masyarakat India bagi membantu BN mendapat majoriti dua per tiga pada PRU-13.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata, beliau tidak terkejut dengan Waythamoorthy yang mendapati UMNO/BN tiada iltizam untuk menyelesaikan masalah kemiskinan masyarakat India.

“Apa yang mengejutkan saya dan pimpinan Pakatan Rakyat lain adalah bagaimana PHM boleh percaya BN serius untuk menangani masalah itu secara bersepadu. BN hanya tandatangani MoU itu untuk dapat undi masyarakat India,” katanya.

Kegagalan mendapatkan undi itu, katanya lagi, memberi lebih alasan kepada Perdana Menteri untuk terus mengabaikan MoU itu selepas PRU-13. -Roketkini.com