Berita

DAP anggap Wee Ka Siong khianati rakyat Malaysia, masyarakat Cina

KUALA LUMPUR, 11 OKTOBER: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menganggap Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong berpaling tadah dan mengkhianati rakyat Malaysia serta masyarakat Cina terutamanya apabila beliau menyeru Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok Suh Sim meminta maaf bukan disebabkan kesalahan tetapi hanya untuk akur kepada kumpulan pelampau perkauman di dalam UMNO.

Beliau berkata, kepimpinan baru MCA memberi isyarat bahawa tidak ada perubahan dalam penghambaan MCA terhadap UMNO berikutan tindakan Wee Ka Siong menyeru Ahli Parlimen DAP Seputeh itu meminta maaf bagi klip video Tahun Baru Cina beliau.

“DAP tidak memerlukan nasihat MCA, malah akan dengan sendirinya menasihati Teresa Kok untuk memohon maaf seandainya benar beliau mempersendakan pencerobohan tentera Sulu di Lahad Datu, Sabah tahun lalu.

“Namun sebenarnya tidak ada pun disebut mengenai insiden Sulu itu di dalam video terbabit. Jika pelampau kaum dalam UMNO dan rakan-rakan MCA mereka menontotn video terbabit, ia jelas terarah kepada tragedi penculikan dan pembunuhan pelancong Taiwan di Sabah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, daripada menonton video itu untuk mengetahui kebenaran, UMNO dan MCA sebaliknya telah memutarbelit isi kandungan video itu demi menimbulkan isu perkauman bagi memecahbelahkan rakyat Malaysia supaya mereka boleh mengalih perhatian rakyat daripada tindakan BN menaikkan harga petrol, gula, tariff elektrik TNB dan bayaran insuran kenderaan motor.

Menurutnya, MCA dan BN lah yang sepatutnya memohon maaf kepada semua warga Malaysia kerana menaikkan harga barang dan kejatuhan nilai Ringgit seperti yang dapat dilihat dalam nilaian paling rendah masa kini; RM2.62 bagi setiap Dolar Singapura.

Beliau berkata, mereka tidak menuntut supaya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kumpulan yang mahu menampar wanita dengan imbuhan tunai, sebaliknya MCA sekali lagi membelakangi masyarakat Cina dan prinsip logik yang masuk akal dengan meminta Teresa Kok pula meminta maaf untuk satu kesalahan yang tidak beliau lakukan.

“Jika MCA benar-benar mendakwa ia mewakili masyarakat Cina di Malaysia, adakah Wee sudah membuat bancian yang menunjukkan bahawa ini adalah kehendak masyarakat Cina secara konsensus?

“MCA berjaya menunjukkan ia sama sekali terputus hubungan dengan aspirasi masyarakat Cina yang mahukan keadilan, kebenaran, kebebasan dan demokrasi sepertimana rakyat lain di Malaysia dan tetap keras menentang diskriminasi, keganasan serta penindasan terhadap hak asasi manusia,” ujarnya.-Roketkini.com