Berita

Bolehkan Zahid Hamidi dianggap ‘kurang siuman’?

SANDAKAN, 11 FEBRUARI: Bolehkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dianggap Menteri Dalam Negeri yang ‘kurang siuman’ kerana membiar dan memaafkan tindakan jenayah oleh mereka yang cuba meningkatkan ketegangan kaum dengan menawarkan ganjaran RM1,200 kepada sesiapa yang menampar Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memegang portfolio perpaduan nasional, Tan Sri Joseph Kurup, juga menganggap pihak yang cuba meningkatkan ketegangan kaum dengan menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang berjaya menampar Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu sebagai orang yang “kurang siuman”.

Baru-baru ini, kira-kira 30 pengikut enam kumpulan Muslim yang terbabit dalam demonstrasi “tampar Teresa” telah menyembelih ayam dan melumurkan darah haiwan itu pada sepanduk yang memaparkan wajah pemimpin DAP dan Pakatan Rakyat adalah orang “kurang siuman”.

“Namun, lebih mengejutkan apabila Menteri Dalam Negeri membuat kenyataan yang menyebabkan kita tertanya-tanya sama ada beliau juga “kurang siuman” sehingga sanggup membela tindakan “kurang siuman” ‘Majlis NGO Islam’ itu.

Hasil publisiti yang diberikan NGO ekstremis dan penaja mereka dalam UMNO, video “Onederful Malaysia CNY 2014” Teresa kini mencatat 450,000 tontonan dalam YouTube.

Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah menteri Kabinet pertama menuntut tindakan diambil terhadap Teresa kerana mendakwa video itu mempersendakan pasukan keselamatan dan tragedi pencerobohan ke atas Lahad Datu.

Bagaimanapun, apabila diberitahu bahawa video Teresa tidak menyebut tentang pasukan keselamatan atau insiden Lahad Datu, Shafie kini menyepikan diri.

Dua lagi menteri dan pemimpin UMNO yang turut menyerang video Teresa secara terbuka ialah Menteri Dalam Negeri dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Ahmad Shabery Cheek, namun kedua-dua mereka belum mampu membuktikan pada bahagian mana video itu anti-Melayu dan anti-Islam.

“Saya sudah menjemput secara terbuka lebih seminggu lalu supaya menunjukkan bahagian mana video Teresa itu anti-Melayu dan anti-Islam dan cabaran itu masih laku – kerana saya benar-benar ingin tahu bagaimana video itu boleh dianggap sedemikian.

“Saya sanggup menyatakan secara terbuka bahawa kalau benar Teresa menerbitkan video anti-Melayu dan anti-Islam, bermakna dia bertindak bertentangan dengan prinsip dan dasar DAP yang memperjuangkan Malaysia untuk semua warga Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina DAP Sandakan, di Sandakan, kelmarin.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, prinsip asas DAP itu tidak berubah dan goyah seperti yang disebut berkali-kali.

Katanya, pemimpin DAP, tidak kira ahli Parlimen atau DUN, perlu menganggap diri mereka pertama sekali sebagai warga Malaysia dan seterusnya sebagai anggota sesuatu kaum atau agama – kerana peranan kita yang utama ialah sebagai pejuang Malaysia dan bukannya juara kaum!

“Sesuai dengan prinsip dan matlamat DAP menjadi sebuah parti bagi semua warga Malaysia, Teresa Kok tidak akan teragak-agak menarik balik dan meminta maaf atas video “Onederful Malaysia” jika ada bahagian dalam video itu yang benar-benar anti-Melayu dan anti-Islam.

“Teresa dan pemimpin DAP menanti untuk seseorang membuktikan dakwaan bahawa video itu anti-Melayu dan anti-Islam, namun belum ada seorang pun berjaya membuktikan dakwaan itu sepanjang dua minggu lalu,” katanya.

Beliau berkata, jika benar video Teresa anti-Melayu dan anti-Islam, mengapa susah sangat untuk membuktikan perkara itu secara terbuka?

Katanya, walaupun sesetengah pihak terutamanya MCA, Gerakan dan parti komponen, DAP menganggap tindakan menerbitkan video Tahun Baru Cina yang mengkritik keras kegagalan kerajaan Barisan Nasional membantu rakyat mengatasi kesulitan hidup berikutan peningkatan harga barangan, jenayah dan korupsi, selain kemerosotan mutu pendidikan sebagai tindakan kurang molek ia tidak boleh dianggap anti-Melayu dan anti-Islam.

“Saya menyangka menteri dan pemimpin UMNO telah “diracun” oleh pemimpin Cina dalam MCA, Gerakan dan parti komponen BN lain, memandangkan mereka tidak memahami dialog berbahasa Mandarin dan Kantonis, sehingga salah faham dan percaya bahawa video Teresa itu menyerang Melayu dan Islam.

“Saya mencabar pemimpin Cina tertinggi dalam MCA, Gerakan dan parti komponen BN lain untuk berhenti “meracuni” dan memperdaya menteri dan pemimpin UMNO bahawa video Teresa anti-Melayu dan anti-Islam kerana tiada unsur anti-Melayu atau anti-Islam dalam video itu.

“Saya menyeru pemimpin MCA, Gerakan dan parti komponen BN lain untuk keluar daripada persembunyian mereka dan membuktikan video Teresa itu anti-Melayu dan anti-Islam atau mengisytiharkan secara terbuka bahawa tiada unsur anti-Melayu atau anti-Islam dalam video itu dan menteri serta pemimpin UMNO diperdayakan,” tambahnya.

Beliau berkata, ketika ini, pemimpin tertinggi MCA hanya sibuk dengan satu persoalan – bagaimana hendak kembali menyertai Kabinet dan kerajaan setelah sembilan bulan tersisih.

Menurutnya, sepatutnya mereka lebih peduli tentang prinsip politik dan maruah – serta meminta Perdana Menteri dan Kabinet untuk membantah dan menegur Zahid kerana membiarkan “Majlis NGO Islam” bergelumang dalam jenayah, termasuk jenayah ancaman dan hasutan agar kekerasan dilakukan ke atas wanita dan Ahli Parlimen, serta mengisytiharkan bahawa tiada guna untuk MCA kembali menjadi menteri dan anggota kerajaan jika Perdana Menteri dan Kabinet tidak sanggup membantah dan menegur Zahid atas pendiriannya yang tidak bertanggungjawab itu.-Roketkini.com