Budaya, Sastera

Pilak – Wahyudi Yunus

KAMI tak banyak pilihan. Kadang-kadang kami ikut budak lelaki yang lebih dewasa mengendap orang mandi. Bekalan elektrik ketika itu adalah daripada enjin generator. Setiap rumah ada dua mentol, satu di ruang tamu, satu di dapur. Kami fikir ia agak bodoh. Digigit nyamuk semata-mata untuk tengok orang lain berkemban dalam gelap. Kau tak tahu pun itu si Kasmah atau nenek si Kasmah.

Kami tinggalkan aktiviti itu dan beralih ke hutan. Ia adalah kawasan semak samun sebelah kilang baja. Hutan itu taman permainan kami. Kami ada peta yang kami lukis sendiri. Kawasan itu tidak luas tapi kami suka idea bahawa peta itu mengelak kami tersesat.

Di atas peta itu ada tanda ‘X’. Tanda itu merujuk kepada markas di mana kami membina pondok di atas pokok besar. Di situ kami berbual mengenai bagaimana rasanya dapat memegang alat kawalan jauh itu, menekan butang dan melihat kereta kecil itu berpusing-pusing. Kami fikir, alangkah bahagia kalau mak ayah kami mampu belikan permainan begitu.

Setiap seorang daripada kami ada lastik dan pada zaman itu kau tak keluar rumah tanpa bawa lastik. Kami lastik burung, tapi kami rasa ada sesuatu yang tak betul. Ia terlalu mudah. Kami perlukan sesuatu yang lebih mencabar. Lagipun setelah beberapa ketika kami sudah tak jumpa burung kat kampung kami. Dah pupus kot. Atau dia orang pakat tak keluar siang? Pendek cerita, satu hari kami dapat pencerahan bahawa selain binatang, kau juga juga boleh lastik kawan kau sendiri. Kami main perang-perang. Tapi ia bukan permainan. Ia adalah perjuangan. Kami berlawan seperti ia membabitkan hidup mati dan kami banyak ketawa.

Kami guna gumpalan tanah kering sebagai peluru. Tapi kadang-kadang aku nampak batu melintas depan mata. Ada satu hari, Pian kena tepat di dahi. Aku rasa bersalah sebab aku suruh dia jalan di depan. Gumpalan tanah kering itu berkecai di kepalanya. Dia tidak menangis.

Kadang-kadang pertempuran jadi begitu sengit. Peluru sesat melayang di atap rumah Sarjan, orang tua yang tinggal seorang diri di pinggir hutan. Aku lupa daripada mana dia dapat gelaran itu, rasanya kami yang bagi. Sarjan ada misai tebal yang tumbuh subur di bawah hidungnya. Ia begitu subur sehingga kami fikir itu adalah bulu hidungnya. Sarjan seorang anggota Rela dan sangat berbangga dengan posisinya di kalangan orang kampung.

Sarjan akan meluru keluar memakai kain sarung sambil memegang senapang. Senapang betul. Itu cara dia beritahu kami bahawa dia tidak suka atap zink rumahnya dibocorkan. Kami kelam kabut lari dan mula fikir satu hari nanti salah seorang daripada kami akan terima nasib seperti rusa yang dia selalu bawa pulang.

Kami tak pernah dengar bunyi tembakan. Kecuali sekali, ketika kami tidak sengaja pecahkan tingkapnya dan dia lupa kosongkan senapangnya. Tak ada sesiapa terkorban.

Hutan itu sempat hiburkan kami beberapa ketika. Kami tebas semak samun untuk dijadikan gelanggang silat. Sarjan jadi tok guru. Kami agak curiga dengan silibus pengajarannya, tapi ia agak menyeronokkan. Satu hari, jentolak datang, hutan itu diganti dengan kilang simen.

Agak menyedihkan, tapi ayah kami dapat kerja punggah simen ke dalam kontena. Kami dapat menonton TV pada siang hari memandangkan bekalan elektrik tidak lagi bergantung pada enjin generator Haji Herman. Sekali dalam sebulan pegawai dari Jabatan Elektrik datang buat pemeriksaan. Madi akan kelam-kabut jolok wayar pada tiang kayu untuk putuskan kabel dan malam itu seluruh kampung akan kegelapan. Esoknya, pagi-pagi lagi Madi panjat tiang untuk sambung kabel semula. Madi seperti ada kuasa ajaib, tapi kami tahu. Kami ada dengar. Ada seseorang di Jabatan Elektrik maklumkan Madi setiap kali ada pemeriksaan.

Kemudian kami beralih pada kegiatan maritim berhampiran jeti. Kami buat rakit daripada batang pokok pisang. Benda tu perlukan dua orang berenang sebagai enjin, dua orang lagi mendayung. Kami selalu ada pertengkaran tentang siapa patut jadi enjin. Kami dapati rakit itu bergerak terlalu perlahan, jadi kami buat ‘ski’ daripada (papan lapis) plywood yang dicuri dari kilang. Ski itu boleh terapung di atas air dan meluncur di atas lumpur ketika air laut surut.

Kami sedar kulit kami semakin gelap dan rambut kami semakin susah disikat. Tapi itu bukan masalah besar untuk budak berumur lapan tahun apalagi kalau dia melihat dirinya sebagai lanun yang menguasai perairan Laut China Selatan.

Tak ramai daripada kami yang bersekolah. Orang tua kami tak mampu bayar yuran dan bagi mereka pendidikan tak penting; yang penting anak lelaki pandai cari duit, anak perempuan tolong buat kerja rumah. Kami jual ikan, siput, kupang di pasar dan duit poket lebih kami beli bola. Ketika itulah kami sedar kami ditakdirkan untuk menjadi ahli sukan.

Kami bermain di gudang sebelah kilang. Kami mempunyai padang yang luas dengan permukaan aspal. Kau tak mahu jatuh, sebab kalau jatuh seluar kau akan koyak dan selalunya kulit lutut kau ikut sekali. Sebabkan tiang gol adalah selipar yang disusun, tak ada palang, kontroversi tentang jaringan gol selalu terjadi. Kami selesaikan dengan penumbuk siapa lebih besar.

Mak ayah kami setuju. Mereka biarkan kami bergaduh sehingga kepenatan. Tiba di rumah dengan luka dan lebam mereka sambut dengan libasan tali pinggang. Mereka marah sebab seluar kami koyak. Antara keseronokan bermain dengan risiko libasan tali pinggang, kami pilih yang pertama dengan harapan satu hari mak ayah kami akan faham.

Tapi mereka ada masalah sendiri. Duit gaji tidak cukup sampai hujung bulan, sabung ayam tidak berhasil, anak sulungnya yang menganggur semakin hari semakin menyerlah perwatakan seorang penagih dan ada khabar angin bulan depan ada jentolak akan datang robohkan rumah. Setiap malam mereka tidur dan risau apa yang akan jadi esok.

Kami tidur nyenyak. Tak banyak yang perlu dirisaukan sebab awal pagi kami akan mendayung ke pelabuhan untuk jual tuak. Ada kapal dari Singapura berlabuh. Pian tidak ikut sebab semalam dia bergaduh dengan Madi yang mengendap Siti, pujaan hatinya. Mereka sudah jumpa alasan untuk berjuang dan mereka nampak serius.

Cerita tersebar bahawa Madi masuk hospital sebab kena ‘pitik’. Pitik adalah lastik, pelurunya paku sebesar 4, 5 inci yang matanya dileperkan dan diukir gigi halus untuk disangkut pada getah. Di bahagian belakang diikat dengan tali halus, ketika dilepaskan matanya terbenam pada sasaran. Budak lelaki lebih dewasa guna benda tu untuk bergaduh dengan budak kampung sebelah.

Kami cuba faham apa yang Pian dan Madi fikirkan. Kami gagal. Kami lupakan hal itu dan sambung perjalanan ke pelabuhan. Kami tiba di jeti dan mendapati jeti tidak lagi seseronok dulu. Ada pagar yang dililit dawai dan di tengah-tengahnya papan tanda besar warna merah. Papan tanda itu ada gambar menunjukkan seperti Sarjan membidik mangsa. Itu kali terkahir kami ke pelabuhan. Kami mendayung pulang dengan perasaan kecewa dan sepuluh botol tuak. Tiba di kampung kami melihat ramai orang berkumpul. Daripada jauh kami boleh dengar enjin jentolak meraung.

*Pilak adalah gelaran yang sering digunakan penduduk tempatan di Sabah kepada anak pendatang tanpa izin. – Roketkini.com