Berita

Setuju ‘UMNO tidak masuk Sarawak’ perlu dimaktub dalam undang-undang

KUALA LUMPUR, 12 FEBRUARI: DAP Sarawak mencadangkan agar persetujuan berhubung UMNO tidak terbabit secara langsung di negeri itu dimaktubkan secara rasmi melalui undang-undang.

Pengerusi DAP negeri, Chong Chieng Jen berkata, usul mengenai perkara itu perlu dibentang secara rasmi dan diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memastikan UMNO kekal tidak masuk campur dalam urusan negeri pada masa akan datang.

“Jika BN Sarawak serius dengannya, ini adalah masa paling sesuai. Sidang DUN tergempar boleh diadakan khusus untuk usul itu, demi kebaikan seluruh rakyat negeri ini.

“Walaupun usul saya sebelum ini untuk menolak supaya UMNO tidak diterima oleh Adun BN, DAP akan ketepikan politik kepartian dan sokong sebarang usul yang dibawa BN tentang isu ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Candangan itu dibuat sejurus selepas kenyataan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud ketika mempengerusikan mesyuarat pimpinan BN Sarawak, agar Sarawak terus dijaga orang Sarawak sendiri.

Kenyataan itu disokong dua Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjamin UMNO tidak akan masuk ke negeri itu dan menghormati corak politik di sana selepas persaraan Abdul Taib.

Kata Ahli Parlimen Kuching itu lagi, pemimpin BN Sarawak kini sudah mengaku secara terbuka bahawa UMNO tidak diterima di sana, malah pemimpin UMNO juga menyatakan persetujuan untuk tidak terbabit dalam kancah politik negeri.

“Namun, kenyataan mulut dan komen di media oleh menteri tanpa menguatkuasa undang-undang. Misalnya, Penyelesaian 10 Perkara berhubung ‘kalimah Allah’ tidak dipatuhi sebahagian jabatan kerajaan,” katanya.

Katanya lagi, UMNO sememangnya tidak diterima rakyat Sarawak sejak dulu lagi kerana corak politik yang diamalkan parti itu.

“Ia bukan sangat kerana (sentimen) ‘parti dari Semenanjung’, tetapi kerana jenama politik ‘kaum, agama, raja’ yang dibawa. Politik perkauman seperti itu tiada tempat di sini.

“Saya sendiri pernah digantung daripada DUN hanya kerana menyamakan Adun Satok, Datuk Abang Johari Tun Openg dengan politikus UMNO. Ia menunjukkan betapa UMNO cukup jelek di mata rakyat Sarawak,” katanya lagi. -Roketkini.com