Berita

Kulasegaran gesa kerajaan tubuh Jawatankuasa Khas Kabinet basmi ancaman denggi

IPOH, 13 FEBRUARI: Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M Kulasegaran menggesa kerajaan segera menubuhkan jawatankuasa khas Kabinet untuk melancarkan perang habis-habisan terhadap ancaman denggi.

Beliau berkata, seruan itu adalah berdasarkan kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk S Subramaniam dua hari lalu yang menyatakan kematian akibat denggi menjangkau hampir tiga kali ganda berbanding 2013.

“Menurut Subramaniam, minggu ini saja, 22 orang mati akibat denggi dan 11,879 kes dilaporkan Isnin lalu. Jumlah yang terlalu besar berbanding lapan kematian dan empat kali ganda berbanding bulan yang sama pada 2013.

“Jadi, rakyat tentunya mahukan jaminan kerajaan bahawa adanya langkah berkesan akan diambil untuk mengawal penyakit ini agar kematian dapat dielak.

“Sebab itu kerajaan perlu segera menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk memerangi wabak denggi daripada terus memberi kemudaratan kepada seluruh rakyat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Subramaniam pada 6 November tahun lalu memberitahu Parlimen bahawa jumlah bilangan kes demam denggi dilaporkan antara Januari dan 2 November tahun lalu juga meningkat lebih daripada 10,000 atau 50 peratus berbanding 2012.

Kulasegaran yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan turut menyelar kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Lokman Hakim Sulaiman yang mendakwa penyebab utama denggi tidak dapat dibasmi adalah kerana Kementerian tidak mempunyai alat mencukupi.

“Saya ingin tahu apa makna di sebalik kenyataan bahawa ‘kita tidak mempunyai alat yang cukup’ itu dan Subramaniam perlu jelaskan secara terperinci mengapa ia gagal dibasmi sejak tahun lalu lagi.

“Sedangkan negara jiran, Singapura yang menghadapi masalah sama memberi respon dengan mengedarkan serangga penghalau untuk setiap isi rumah dan menambah bilangan pegawai kawalan penyakit di sana.

“Di Malaysia, apa pula yang sedang dilakukan Kementerian Kesihatan? Apakah kita akan turut sama melaksanakan langkah itu? Ini perlu dijawab,” tegasnya. -Roketkini.com