Berita

Bekas adik ipar Taib Mahmud bakal Ketua Menteri Sarawak.

KUCHING, 13 FEBRUARI: Ketua Menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud hari ini mengesahkan peletakkan jawatannya dan akan menyerahkan mandat kepada bekas adik iparnya, Tan Sri Adenan Satem menerajui Bumi Kenyalang itu selepas 28 Februari ini.

Abdul Taib yang berada ditampuk kuasa selama 33 tahun juga difahamkan akan bertemu Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng untuk menyerahkan surat peletakkan jawatan.

Abdul Taib Mahmud, 78, meletakkan jawatan dan melantik bekas adik iparnya, Adenan Satem, 70, bagi menggantikannya sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Mengulas peletakan jawatan itu, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, “Taib Mahmud sudah dijangka akan dilantik sebagai TYT yang baru pada 28 Februari ini dan perlu meletakkan jawatan sebagai ADUN Balingian.”

“Siapa nak bertaruh, tarikh Pilihan Raya Kecil Balingian akan juga diadakan pada 23 Mar 2014?” ujarnya melalui laman sosial Facebook rasminya.

Profesor Sains Politik Monash Universiti Australia kampus Malaysia, James Chin pula berkata, pengunduran Abdul Taib itu tidak bermakna beliau benar-benar, malah menjadikannya lebih berkuasa apabila bergelar Gabenor.

“Ia adalah satu tanggapan salah untuk berfikir bahawa Taib benar-benar bersara. Apabila bergelar Gabenor tentunya beliau akan bertambah kuat.

“Perkara tertentu memerlukan tandatangannya, Ketua Menteri beliau lantik dan semua pajakan perlombongan juga ditandatanganinya,” katanya pada Bloomberg News.

Menyokong kenyataan itu, Penganalisa Politik Merdeka Center, Ibrahim Suffian menegaskan, Taib jelas tidak berundur tapi mengawal selia politik daripada belakang tabir.

“Taib tidak berundur daripada politik Sarawak tapi beliau akan memainkan peranan penting di belakang tabir sebagai Gabenor baru termasuk pengendalian isu ekonomi,” ujarnya.

Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Ketua Menteri, Taib diselubungi pelbagai kegiatan salah laku.

Antara salah laku itu merangkumi pendedahan Bruno Manser Fund berhubung keluarganya menerima peratusan besar kontrak balak, kelapa sawit komersial, harta kekayaan yang tidak diketahui nilainya dan perusahaan besar diluar negara menggunakan wang negeri. -Roketkini.com