Berita

Insiden lempar daging babi: Ketua Menteri gesa warga P Pinang bertenang

KUALA LUMPUR, 17 FEBRUARI:Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meminta semua rakyat negeri itu bertenang dan meneruskan kehidupan seperti biasa, di sebalik provokasi kaum dan agama yang masih berterusan.

Beliau merujuk insiden terbaru, apabila seketul daging, dipercayai daging babi dibaling ke dalam sebuah masjid di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, awal pagi semalam.

Katanya, polis di Pulau Pinang sentiasa bersedia dan akan mengambil semua langkah perlu untuk menghentikan elemen yang cuba merosakkan keamanan dan keharmonian negeri.

“Kami sentiasa bekerja rapat dengan polis bagi menangani percubaan mengganggu ketenteraman dan keteraturan awam.

“Namun, sebelum semua kekacauan ini dapat diselesaikan, penduduk negeri harus kekal tenang dan bersatu, serta meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Awal pagi semalam, Timbalan Imam masjid, Saad Arop membuat laporan polis berikutan menemui ketulan daging ketika masuk ke kawasan masjid kira-kira jam 5.30 pagi.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Pulau Pinang, Mazlan Kesah, kes itu kini sedang disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana merosak atau mencemarkan tempat ibadat.

Kata Setiausaha Agung DAP itu lagi, keharmonian dan keamanan negeri yang sentiasa dicabar secara berterusan kebelakangan ini jelas antaranya bertujuan melemahkan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri ini.

“Keharmonian sosial dan keamanan dicabar berterusan, seperti insiden ‘molotov coktail’ di gereja, bom api di balai polis dan penodaan terbaru di masjid semalam. Jelas kumpulan perosak ini tidak berputus asa dalam usaha melemahkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

“Walaupun kami berpegang teguh kepada mandat rakyat melalui sokongan 68 peratus undi popular pada PRU lalu, terdapat kebimbangan berasas bahawa kumpulan perosak ini tidak berhenti sehingga mencapai tujuan mereka,” katanya.

Justeru, katanya lagi, beliau mengajak rakyat negeri agar bersama-sama melawan anasir perosak dengan meraikan keunikan dan perbezaan, seterusnya mengekalkan keharmonian sosial dan keamanan yang selama ini dinikmati negeri itu. -Roketkini.com