Berita

Pencemaran bunuh punca rezeki nelayan, Menteri Besar Johor tidur?

GELANG PATAH, 17 FEBRUARI: Ahli Parlimen DAP Gelang Patah, Lim Kit Siang kesal dengan tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab melakukan pencemaran air sehingga menjejaskan pengusaha ternakan ikan dalam sangkar dan nelayan sekitar Kampung Pendas Laut.

Pencemaran yang berlaku di perairan Sungai Pulai itu menyebabkan kira-kira 10 pengusaha ternakan ikan dalam sangkar mengalami kerugian kerana ikan yang mereka ternak mati mengejut, dan 250 nelayan pula terjejas pendapatan mereka.

Dalam lawatan bersama pimpinan Pakatan Rakyat (PR) Johor semalam, Kit Siang mengambil kesempatan melihat sendiri masalah di kawasan terbabit dan bertemu dengan pengusaha yang mengalami kerugian berjuta ringgit.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menggesa Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengambil perhatian serius masalah yang menimpa pengusaha terbabit.

“Kami hairan bagaimana kejadian sedemikian boleh berlaku? Kami juga ingin tahu mereka yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu,” katanya.

Berikutan kejadian itu, lebih 10 tan ikan yang diternak dalam sangkar mati mengejut, dua hari lalu. Ternakan terbabit ialah daripada kategori A seperti Jenahak, Kerapu, Senangin dan Merah termasuk 70,000 benih ikan yang baru dilepaskan dalam sangkar.

Mengulangi desakannya, Kit Siang menegaskan Khaled perlu bertindak segara bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Jika tidak ada sebarang respon dalam beberapa hari lagi, nelayan patut pergi ke Dewan Undangan Negeri untuk menuntut wakil rakyat BN berikan penjelasan,” tegasnya.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-13, Penggal Satu Sidang ke-4 akan diadakan Khamis ini (20 Februari).

Perbuatan tidak berrtanggungjawab itu dilakukan sejak Januari lalu dan ia menimbulkan tanda tanya kepada pengusaha ikan serta nelayan kerana tiada makluman mengenainya dari Kerajaan Negeri.

Yang Dipertua PAS Gelang Petah, Haji Dzulkifly Ahmad pula menyatakan, pencemaran air, aktiviti menyedut dan menambak pasir adalah punca utama kejadian itu.

“Kami memperikai mengapa kerajaan negeri tidak memberi taklimat lebih awal kepada nelayan sekitar mengenai aktiviti menyedut dan menambak pasir. Jika ia terus dibiarkan, pasti sumber pendapatan nelayan terjejas teruk,” ujarnya.

Kit Siang menambah, laporan rujukan dan kajian agensi Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) sehingga kini belum diperoleh.

“Adakah MB tidur? Kejadian ini sungguh memalukan,” tegasnya.

Timbalan Setiausaha Agung PKR Johor, Steven Choong pula memohon kerajaan negeri membayar pampasan sewajarnya kepada pengusaha ikan sangkar yang mengalami kerugian teruk.

Kejadian ini adalah satu rekod kerugian terbesar pernah dialami nelayan dan pengusaha ikan dalam sangkar di Johor. Pada 14 Februari lalu, ribuan ikan sangkar yang diternak selama hampir tujuh tahun di perairan Selat Johor mati mengejut menyebabkan mereka kerugian kira-kira RM1 juta.-Roketkini.com