Berita

DAP cadang kempen ‘Sayang Malaysia, Selamatkan Malaysia’

KUALA LUMPUR, 17 FEBUARI: DAP mencadangkan satu kempen besar-besaran diadakan bagi menyelamatkan negara daripada usaha jahat sekelompok kecil yang tanpa henti cuba mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, satu corak yang dapat dilihat kebelakangan ini jelas menunjukkan ada pihak anti-Malaysia yang cuba menimbulkan konflik berkenaan.

“Ia termasuk insiden serangan ‘molotov cocktail’ serta penggantungan pemidang provokasi di gereja di Pulau Pinang, serta vandalisme ke atas lapan kubur di tanah perkuburan kristian di Kuantan.

“Kebenaran menjadi mangsa kepada usaha jahat itu. Mereka tidak berminat dengan fakta, kejujuran dan kesederhanaan, sebaliknya hanya kepada kebencian kaum dan agama, untuk mewujudkan suasana tegang bagi memaksa rakyat tidak berfikiran rasional – hanya dengan emosi,” katanya dalam satu kenyataan.

Insiden itu termasuk serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke premis Bible Society Malaysia di Petaling Jaya serta serangan ke atas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim berikutan video ‘Onederful Malaysia’, kononnya bersifat anti-Melayu dan anti-Islam.

Namun, semua insiden ini menimbulkan tanda tanya, kerana kebanyakannya berlaku di Selangor dan Pulau Pinang, dua negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Gelang Patah berkata lagi, DAP menggesa kempen ‘Sayang Malaysia, Selamatkan Malaysia’ diadakan di seluruh negara bagi menyelamatkan negara daripada usaha itu.

“Saya yakin majoriti besar rakyat Malaysia, sama ada di dalam Pakatan Rakyat atau BN tidak ingin konflik kaum dan agama di negara ini, kerana mereka adalah patriot dan inginkan yang terbaik untuk generasi akan datang.

“Namun mereka tidak boleh terus berdiam diri dan membiarkan sekumpulan kecil orang yang tidak bertanggungjawab bebas mencetuskan provokasi. Golongan sederhana dan patriotik perlu bersuara kuat dan jelas mengecam mereka,” katanya lagi.

Justeru, katanya lagi, suara sederhana dan patriotik tanpa mengira kaum dan agama perlu bersatu dalam kempen ‘Sayang Malaysia, Selamatkan Malaysia’ daripada pihak ekstremis, seterusnya memastikan semua dapat terus menikmati kepelbagaian kaum dan agama dengan aman dan harmoni. – Roketkini.com