Berita

DAP akan pastikan Anwar menang majoriti lebih besar pada PRK Kajang – Lim Kit Siang

KAJANG, 18 FEBRUARI: DAP berikrar akan memastikan calon Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh kemenangan dengan majoriti lebih besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, 23 Mac ini.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Wanita DAP Kebangsaan di Gelanggang Bola Keranjang, Kampung Sungai Chua, Kajang, semalam.

Katanya, kemenangan Ketua Umum PKR itu bukan saja penting untuk Selangor, malah merupakan permulaan ke arah masa depan Malaysia yang lebih baik.

“Kita tidak mahu sekadar memperoleh kemenangan, tapi mahu memastikan Anwar mencapai keputusan cemerlang iaitu dengan majoriti lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Mei lalu.

“PRK Kajang dan kemenangan Anwar merupakan permulaan kepada perubahan perpaduan untuk semua moderat Malaysia menolak sepenuhnya kumpulan pelampau yang cuba memecahkan kehidupan kita bersama.

“Marilah kita bersatu padu menolak ektremis dengan memastikan kemenangan beliau. Sayang Malaysia, selamatkan Malaysia,” kata Kit Siang disambut tepukan hadirin.

Ahli Parlimen DAP Gelang Patah itu juga memberi jaminan bahawa Anwar sebagai seorang yang teguh dengan agenda perubahan tentunya tidak akan sesekali mengenepikan permasalahan penduduk Kajang.

Jelasnya, beliau yakin Kajang akan bertambah maju dan berdaya saing selepas ini jika Anwar diberi mandat sebagai wakil rakyat.

“Saya percaya dan cukup yakin, sebagai seorang pemimpin berkaliber, Anwar apabila dipilih sebagai wakil rakyat, Kajang akan menjadi lebih popular berbanding hanya dikenali dengan satay.

“Kemenangan Anwar dan PR adalah kemenangan bagi semua rakyat yang cintakan keharmonian, keamanan dan kemakmuran.

“Kami tidak mahu kerajaan kangkung dan Perdana Menteri kangkung, luar nampak cantik tapi dalam kosong,” ujarnya.

Sehubungan itu, Kit Siang turut menyatakan, Kajang juga bukan tempat asing untuk pimpinan pembangkang kerana ramai antara mereka yang pernah satu ketika menetap di sini akibat kezaliman kerajaan UMNO.

“Kajang adalah tempat yang begitu bersejarah, kalau saudara saudari masih ingat, Guan Eng satu masa pernah tinggal di sini buat sementara waktu iaitu di Penjara Kajang,” katanya mengenang pengorbanan besar Ketua Menteri Pulau Pinang itu membela rakyat sehingga sanggup terpenjara. -Roketkini.com