Berita

Kerajaan BN Johor lebih pentingkan keuntungan daripada kebajikan rakyat dan alam sekitar – Dyana Sofya

GELANG PATAH, 18 FEBRUARI: Setiausaha Politik Ahli Parlimen Gelang Patah, Dyana Sofya Mohd Daud mengecam tindakan Kerajaan Negeri Johor yang lebih mementingkan pembangunan membabi-buta dan menguntungkan syarikat besar tanpa mengambil kira kebajikan rakyat dan alam sekitar.

Beliau mengulas insiden beribu-ribu ikan di perairan Tanjung Kupang, Gelang Patah, mati baru-baru ini angkara aktiviti menyedut pasir dan menambak laut di kawasan itu.

Kejadian itu menyebabkan 10 penternak ikan dalam sangkar mengalami kerugian berjuta ringgit dan 250 nelayan terjejas teruk pendapatan mereka.

“Di manakah janji pembangunan mampan dan pemeliharaan alam sekitar dalam membangunkan wilayah Iskandar? Menteri Besar baru, Datuk Seri Khaled Nordin perlu bertanggunjawab menunaikan janji ini.

“Kerajaan Negeri Johor sepatutnya mengambil berat kehidupan nelayan di Gelang Patah yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut.

“Rakyat Johor berhak menuntut hak mereka untuk kehidupan sejahtera dan pembangunan yang memberi manfaat kepada mereka, mengapa pihak lain lebih diutamakan?,” soalnya dalam kenyataan, semalam.

Dyana Sofia juga mempertikai penafian tanpa bukti kukuh oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) bahawa kematian ikan itu bukan disebabkan aktiviti menyedut pasir dan menambak laut.

“Apakah bukti yang menyokong kenyataan ini? Di manakah laporan Impak Alam Sekitar (EIA) yang sepatutnya diperoleh sebelum projek dimulakan? Apakah Jabatan Alam Sekitar telah memberikan kelulusan tanpa EIA?.

“Sekiranya benar KPRJ mengikut prosedur dengan memberitahu secara terperinci bagaimana projek itu boleh memberi kesan kepada penduduk kampung dan persatuan nelayan, mengapa pemilik dan penternak ikan sangkar tidak diberitahu lebih awal supaya persedian dapat dilakukan untuk meminimumkan kerugian?

“Apakah akan ada pampasan setimpal untuk mereka?,” tegasnya.

Katanya lagi, tanpa penjelasan terperinci ia jelas menunjukkan Kerajaan Negeri Johor tidak mengamalkan pentadbiran secara jujur demi kemakmuran masyarakat setempat tapi lebih mengutamakan kepentingan pihak tertentu sahaja.

“Kerajaan Negeri Johor, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Laut jelas tidak mengamalkan transparensi apabila tidak merujuk kepada orang awam terlebih dahulu berkenaan isu ini hingga menyebabkan kehidupan pengusaha dan nelayan terjejas teruk.

“Apabila hasil tangkapan berkurangan, nelayan hilang mata pencarian ditambah dengan kos sara hidup yang semakin tinggi akibat penarikan subsidi, kenaikan tarif oleh Kerajaan BN, ini tentunya menambahkan kesulitan hidup mereka,” katanya. -Roketkini.com