Berita

Sambutan Tahun Baru Cina Wanita DAP meriah

KUALA LUMPUR, 18 FEBRUARI: Walaupun hari Chap Goh Mei yang menandakan berakhirnya perayaan Tahun Baru Cina baru sahaja berlalu, majlis sambutan anjuran Wanita DAP Kebangsaan itu berlangsung meriah dengan dihadiri kira-kira 1,000 tetamu berbilang kaum.

Orang ramai yang kebanyakannya datang bersama keluarga mula memenuhi dewan gelanggang bola keranjang Kampung Sungai Chua, Kajang seawal jam 7 petang.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seperti biasa, menjadi tumpuan orang ramai yang ingin bersalaman.

Kedua-duanya menyampaikan ucapan dengan penuh bersemangat, tentunya berkisar mengenai Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan (DUN) Kajang yang akan diadakan pada 23 Mac ini.

Acara yang bermula jam 7.45 petang itu dibuka dengan nyanyian lagu ‘Negaraku’ dan lagu rasmi parti, ‘DAP berjuang untuk rakyat Malaysia’ oleh semua hadirin.

Ketua Wanita DAP Kebangsaan yang juga Ahli Exco Kerajaan Pulau Pinang, Chong Eng turut menyampaikan ucapan alu-aluan, serta menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung yang bernasib baik.

Pelbagai hadiah disediakan, antaranya patung ‘Burung Ubah’ dan hamper, selain memberikan ‘ang pow’ kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Ketika menikmati makanan yang disediakan, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan kumpulan tarian tempatan, ‘Wonder Stars’.

Antara pemimpin Pakatan Rakyat yang turut hadir adalah Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin; Ketua Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusoff, Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh, Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto dan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau.-Roketkini.com