Berita

Fitnah jahat Pulau Pinang mahu haramkan khutbah Jumaat, DAPSY Bukit Bendera buat laporan polis

GEORGE TOWN, 19 FEBRUARI: Ketua Pemuda DAP Bukit Bendera (DAPSY), Mohd Hariszuan Jaharudin semalam membuat laporan polis terhadap fitnah jahat blog pro-UMNO yang mendakwa Kerajaan Pulau Pinang sedang merancang untuk melarang khutbah Jumaat di negeri itu.

Beliau berkata, tuduhan oleh seorang individu yang dipercayai ahli UMNO itu melalui laman sosial Twitter dengan memuatkan blog palsu Pakatan Rakyat jelas tidak benar sama sekali dan berniat jahat.

Menurut Hariszuan, lelaki bernama Abdul Aziz Johari yang mengendalikan akaun Twitter ‘@rjies22’ menyebarkan fitnah daripada blog palsu itu dan turut mengancam untuk melancarkan perang terhadap kerajaan negeri.

“Beliau menyebarkan laporan fitnah blog di dalam akaun Twitter miliknya dan mengancam bahawa perang akan berlaku jika kerajaan negeri mengharamkan khutbah Jumaat,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan di Balai Polis Timur Laut, Jalan Patani, di sini.

Menerusi akaun Twitter ‘@rjies22, semalam, Abdul Aziz menulis seperti berikut ‘bkn kuasa Penang pun, kalu buat jg kompen perang’. (Kerajaan Negeri tidak berkuasa berbuat demikian, tetapi jika tetap dilakukan, perang akan berlaku).

Berdasar maklumat akaunnya, Abdul Aziz adalah Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Kuala Nerus, Terengganu.

Beliau melakukan ancaman itu merujuk kepada satu blog palsu iaitu ‘Negara Pakatan Rakyat’.

Laporan blog bertarikh 17 Februari dengan tajuk ‘Pulau Pinang pertimbangkan untuk haramkan khutbah Jumaat’ itu juga turut menuduh pimpinan DAP termasuk Tony Pua, Lim Kit Siang dan Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengatakan khutbah Jumaat mengandungi mesej ektrimis dan diskriminasi.

Hariszuan menyatakan, tweet Abdul Aziz semalam turut ditandakan dengan akaun twitter beberapa pemimpin termasuk Guan Eng (@cmlimguaneng), Datuk Seri Anwar Ibrahim (@anwaribrahim), Datuk Seri Jamil Khir Baharom (@dsjamilkhir), Tan Sri Muhyiddin Yassin (@MuhyiddinYassin) dan Tun Faisal Ismail (@tunfaisal).

Beberapa jam selepas tweet itu, Guan Eng telah memberikan respon dengan menegaskan ia sebagai fitnah.

“Apa yang merisaukan kami adalah ia jelas satu ancaman untuk melancarkan perang terhadap kerajaan negeri, sekaligus boleh menimbulkan ketegangan kaum.

“Blog terbabit tidak mewakili Pakatan Rakyat dan semua maklumat di dalamnya adalah palsu dan fitnah semata. Jadi saya amat berharap pihak polis akan menyiasat siapa pemilik blog itu,” ujar Hariszuan.

Beliau turut memohon kerjasama untuk turut sama mengenal pasti siapa individu di sebalik akaun dengan nama @rjies.

“Jika pemilik akaun itu benar-benar seorang pemimpin UMNO, beliau sepatutnya menunjukkan teladan yang baik dan bukannya mewujudkan ketegangan kaum dengan menyebarkan fitnah dan mengancam untuk berperang,” tegasnya.-Roketkini.com