Berita

Teresa harap polis siasat menyeluruh, tahan pihak terbabit

KUALA LUMPUR, 19 FEBRUARI: Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok Suh Sim berharap polis akan menyiasat secara menyeluruh berhubung insiden simbahan cat merah dan bangkai ayam di pejabat pusat khidmatnya pagi tadi.

“Saya ingin berterima kasih kepada polis kerana menunjukkan kesungguhan terhadap laporan kami. Saya berharap mereka akan siasat secara menyeluruh dan dapat menahan suspek yang melakukan perbuatan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Kira-kira jam 8.30 pagi tadi, pekerja pengurusan bangunan pejabatnya mendapati simbahan cat merah, bangkai ayam dan gambar Teresa bersaiz A4 di tangga naik ke pejabatnya di Jalan Kuchai Lama, di sini.

Pengurus bangunan, Emily Sim Foo Lan membuat laporan polis di Balai Polis Sri Petaling sejurus selepas itu.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu berkata lagi, insiden itu jelas berkaitan dengan klip video ‘Onederful Malaysia’ yang merupakan kritikan kepada isu semasa negara, namun diputarbelitkan pihak tidak bertanggungjawab sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.

Justeru, katanya lagi, beliau menyeru pihak terbabit agar menghentikan serangan dan tohmahan daripada putar belit kandungan video itu.

“Mereka telah menghebohkan isu klip video itu selama dua minggu. Cukuplah,” katanya lagi.

Insiden ini adalah ancaman terbaru yang ditujukan terus kepada Teresa, selepas sekumpulan NGO pro-UMNO membuat tawaran RM1,200 kepada individu yang menampar beliau.

Tindakan ala samseng ‘Ah Long’ – Pemuda DAP

Mengulas isu sama, Pemuda DAP Kebangsaan (DAPSY) mengutuk insiden itu dan menyifatnya sama seperti samseng ‘Ah Long’ yang tidak bertamadun.

“Pihak berkuasa perlu segera menjalankan siasatan terperinci dan gunakan kuasa yang diberi secara adil dan profesional untuk membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Kiami percaya tindakan ini adalah sebahagian daripada siri provokasi dan akan berlanjutan selagi pihak berkuasa memberi muka dan tidak bertindak tegas memembendungnya,” kata Ketua DAPSY, Teo Kok Seong.

Beliau juga menyeru semua pihak, orang ramai, NGO, serta pemimpin politik termasuk daripada BN untuk turut sama mengutuk insiden itu. -Roketkini.com.