Berita

Hindraf tersilap besar percayakan Najib

IPOH, 19 FEBRUARI: Hindraf silap besar apabila meletakkan kepercayaan dan harapan tinggi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu kerana ternyata ia cuma harapan palsu masyarakat India.

Semalam Pengerusi Hindraf yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorty memohon maaf kepada masyarakat India kerana kegagalannya melaksanakan program sosio-ekonomi bagi komuniti itu selepas membuat perjanjian dengan Barisan Nasional (BN) sebelum PRU-13.

Mengulas peletakan jawatan Waythamoorty itu, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M Kulasegaran menganggap tindakan itu mendedahkan niat jahat Najib serta pertimbangan dangkal Hindraf.

“Najib mesti memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat miskin kaum India kerana melakukan pengkhianatan bersejarah terhadap komuniti itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pihak yang ingin menyaksikan perubahan begitu terkejut, marah dan rasa dikhianati setelah jelas persetujuan antara BN dan Hindraf sekadar langkah oportunis untuk memenangi sokongan pengundi terhadap BN.

“Kalau kerajaan BN benar-benar ikhlas untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat India yang terpinggir, mereka boleh lakukan memandangkan sudah berpuluh tahun menjadi kerajaan.

“Jelas sekali hanya masa yang menentukan bila waktunya Hindraf akan dikhianati BN,” ujar beliau sambil menyifatkan pentadbiran Najib hanya memberi harapan palsu kepada masyarakat India.

Kulasegaran juga berkata, Najib langsung tidak melakukan apa-apa untuk memujuk Waythamoorty daripada meletakkan jawatan.

“Selepas peletakan jawatan pada 10 Februari, Najib hanya menyatakan Waythamoorty sepatutnya berbincang terlebih dahulu dengannya sebelum memilih berbuat demikian.

“Tetapi sekarang Waythamoorty menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 16 mesyuarat diadakan dengan Najib untuk menyelesaikan masalah masyarakat India,” tambah beliau lagi.

Kulasegaran mempertikaikan kebenaran kedua-dua pihak dan berharap isi kandungan perbincangan Waythamoorty dan Perdana Menteri didedahkan kepada orang ramai.

“Jelas sekali selepas selesai pilihan raya, Waythamoorthy sudah tidak berguna lagi kepada BN,” katanya. – Roketkini.com