Berita

KPN ‘pilih bulu’ sebab itu tidak bertindak terhadap Majlis NGO Islam, Utusan Malaysia – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 19 FEBRUARI: Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar terus bersikap ‘pilih bulu’ apabila sehingga kini tidak mengambil tindakan atau menyiasat kumpulan yang menggelarkan diri mereka ‘Majlis NGO Islam’ yang melakukan beberapa kesalahan ketika tunjuk perasaan di Kuala Lumpur, 6 Februari lalu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Khalid sepatutnya mendengar nasihat Majlis Perundingan Perpaduan Negara (MPPN) supaya mengambil tindakan segera terhadap pihak termasuk Majlis NGO Islam dan Utusan Malaysia yang meniup api perkauman dan keagamaan untuk memusnahkan keharmonian di Malaysia.

“KPN dan pegawai atasan polis lain sepatutnya meneliti kenyataan MPPN yang menyeru pihak berkuasa, khususnya polis bertindak pantas bagi mencegah perbuatan mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan serta meningkatkan ketegangan.

“Kenyataan MPPN yang menggesa kerajaan menegakkan kedaulatan undang-undang dan mengukuhkan perpaduan kebangsaan dengan bertindak terhadap kenyataan dan provokasi yang membawa ketegangan dan menjejaskan keharmonian serta perpaduan itu,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Beliau berkata, Khalid walaupun berdepan kritikan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara tetapi masih belum bertindak terhadap ancaman serta hasutan supaya kekerasan dilakukan dengan menawarkan ganjaran RM1,200 kepada sesiapa yang berjaya menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah turut mempertikaikan mengapa KPN dan polis tidak peduli mengenai jenayah yang dilakukan “Majlis NGO Islam” sedangkan mengaku sebagai pemelihara undang-undang dan ketertiban, selain penjaga keamanan awam.

“Polis juga belum bertindak Mingguan Malaysia yang menyiarkan satu rencana mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan yang ditulis Penolong Pengarang akhbar itu, Azman Anuar, Ahad lalu dan banyak lagi tulisan bersifat menghasut yang pernah disiarkan Utusan Malaysia sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, satu kegagalan terbesar Khalid dalam tempoh sembilan bulan dilantik KPN sejak 17 Mei 2013 ialah tidak bertindak tegas terhadap pihak yang terbabit menjaja sifat benci sehingga mereka merasa “kebal” jika berlindung di sebalik beberapa NGO pro-UMNO dan selagi sasaran serangan mereka ialah parti Pakatan Rakyat, khususnya di Pulau Pinang dan Selangor.

Peningkatan kejadian merangsang kebencian kaum dan agama antaranya kejadian melempar bom ke perkarangan gereja, pemasangan sepanduk provokatif di luar lima gereja, meletak seketul daging dipercayai sebagai daging babi dalam sebuah masjid (semuanya di Pulau Pinang) adalah natijah daripada “sikap tidak apa” polis terhadap kempen menyemarakkan kebencian yang diterjaui Khalid.

“Saya setuju kenyataan Setiausaha Agung Malaysian Indian Progressive Association (Mipas) S Barathidasan yang menyalahkan sikap pilih bulu polis sebagai punca utama ketegangan meningkat berikutan tindakan mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan sepanjang beberapa bulan lalu.

Menurut Barathidasan, Mipas, WargaAman, dan beberapa NGO lain telah membuat laporan polis terhadap pemimpin Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, Zulkifli Noordin dan ahli akademik Riduan Tee Abdullah.

Satu laporan juga dibuat terhadap Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mengungkit rusuhan kaum 13 Mei dalam ucapannya.

Terbaru, ujar Barathidasan, laporan dibuat terhadap NGO yang menyembelih ayam di khalayak ramai dan melumur darah ayam ke atas gambar pemimpin DAP.

Barathidasan mempertikai kerana sehingga kini tiada tindakan diambil terhadap pemimpin UMNO/BN serta NGO pro-kerajaan yang melakukan provokasi dan meningkatkan ketegangan kauman dan agama.-Roketkini.com