Berita

Provokasi kaum, agama: KPN dan PDRM perlu bertindak lebih tegas

KUALA LUMPUR, 19 FEBRUARI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa bertindak lebih tegas bagi menangani usaha sesetengah pihak yang cuba mencetuskan permusuhan kaum dan agama, terutama di Pulau Pinang melalui insiden provokasi sejak awal tahun ini.

Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, konspirasi jahat itu berterusan selama lebih sebulan dengan insiden berlaku setiap minggu.

“Jika keadaan ini berterusan, sudah tentu ketegangan bertambah. PDRM tidak boleh lagi memandang ringan perkara itu.

“Maka, kami menyeru Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi fokus dan lebih serius untuk menhhentikan pihak tidak bertanggungjawab daripada terus mengancam keharmonian masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan bersama Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Exco Kerajaan Negeri, Afif Bahardin.

Katanya lagi, jika PDRM gagal membendung provokasi yang masih berterusan, Khalid perlu memikul tanggungjawab dan meletakkan jawatan.

Dua hari lalu, laman Facebook ‘Boikot Barangan Cina DAP’ mengaitkan Steven dengan insiden lempar daging babi di Masjid Cherok To’kun, Bukit Mertajam 16 Februari lalu melalui gambar bertajuk ‘Cina lontar daging babi depan pintu masjid Bukit Mertajam, diiringi tulisan fitnah dan provokasi.

Januari lalu menyaksikan sekumpulan ahli UMNO membawa kain rentang bertulis ‘Kerana mulut pemimpin DAP, 13 Mei 1969 berlaku … Mahu lagi?’ di Seberang Jaya, serta serangan ‘molotov cocktail’ dan pemidang provokasi isu kalimah ‘Allah’ di gereja di George Town.

Pada bulan ini pula, sekumpulan NGO menyapu darah sembelihan ayam pada pemidang yang tertera gambar pemimpin DAP dan tawaran RM1,200 untuk menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.

Namun, menurutnya lagi, rentetan peristiwa itu adalah konspirasi jahat untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu.

“Jelas, mereka sakit hati melihat kemajuan negeri di bawah Pakatan Rakyat, di mana kebajikan rakyat semua kaum dijaga dengan baik. Misalnya, peruntukan untuk agama Islam meningkat setiap tahun sementara hak bukan Islam juga terpelihara.

“Mereka jadi terdesak kerana sudah tiada modal politik, sehingga melakukan konspirasi jahat untuk mencetuskan huru-hara,” katanya lagi. -Roketkini.com