Berita

Keperluan asas pun tak boleh selesai, ada hati nak laksana sistem PBS – Tengku Zulpuri

BANGI, 24 FEBRUARI: Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji kesal dengan tindakan tidak adil Kementerian Pendidikan yang memberikan notis 24 jam kepada seorang guru, Mohd Nor Izzat Mohd Johari kerana kelantangannya membantah sistem Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS).

Beliau berkata, kementerian sepatutnya menilai dan meneliti masalah PBS yang dibangkitkan Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) dan beberapa guru di Malaysia, bukannya bertindak melulu dengan memberi notis apabila dikritik akibat kecuaian serta kelemahan sendiri.

Menurutnya, PBS bukan saja tidak praktikal, malah langsung tidak relevan di negara ini selagi isu utama seperti keperluan asas tidak dapat diselesaikan kerajaan.

“PBS adalah penilai terus daripada guru dengan hampir keseluruhannya menggunakan komputer.

“Persoalannya hari ini, apakah seluruh pelusuk negara kita ini mempunyai kemudahan asas yang lengkap dan cukup? Masih terlalu banyak kampung yang tidak memiliki bekalan elektrik dan sebagainya.

“Kalau tiada elektrik, macam mana komputer boleh beroperasi? Macam mana guru nak bagi penilaian? Isu asas sepatutnya diselesaikan terlebih dulu,” katanya ketika menyampaikan ucapan ringkas pada Himpunan 222: Mansuh PBS di Dewan Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, petang semalam.

ADUN DAP Mentakab itu turut menyatakan sokongan penuh kepada usaha SGMM dan bersetuju agar ia segera dimansuhkan.

“Saya amat bersetuju PBS dimansuhkan secepat mungkin. Kalau mereka (kerajaan) tetap berkeras, kajian mendalam wajib dilakukan sebelum pelaksanaannya.

“Jangan kerana kepentingan politik, rakyat, guru dan murid menjadi mangsa,” tegasnya.

Dalam himpunan tadi, SGMM menegaskan pihaknya akan menyerahkan memorandum khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menggesa PBS dimansuhkan segera.

“Memorandum khas itu ditandatangani NGO bersekutu. Kami akan hantar dengan pelbagai cara supaya sampai ke Perdana Menteri,” kata Izzat yang juga Pengerusi SGMM.

Tegasnya, pelbagai alasan yang dikemukakan kementerian selama ini tidak membawa sebarang kesan tapi jelas hanya bertujuan menutup kelemahan PBS.

“Mereka bukan baiki tapi nak tutup kelemahan. Saya kata sistem ini bermasalah. Mereka kata akan perbaiki tapi tidak ada sebarang tindakan dibuat,” ujarnya.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming; Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat dan wakil NGO lain. -Roketkini.com