Budaya

Hukum Newton Pertama – oleh Aliff Fikri

ATAS sifat kemanusiaan dan kebosanan tempoh hari, saya membantu menghantar seorang teman pulang ke rumahnya di Subang Jaya. Teman saya ini amat jarang menaiki kereta dan beliau merupakan pelanggan setia KTM komuter dan Rapid KL LRT. Pengguna berhemah katanya.

Berbekalkan peranti GPS kami ke Subang Jaya, perjalanan romantik kami diiringi lagu dari The Julie Ruin iaitu ‘Oh Come On’. Teman saya yang dari tadi membisu akhirnya mengeluarkan suaranya. Oh ya, kita anggap sajalah nama dia sebagai Najwa (bukan Latiff dibelakang). Najwa mengeluh suatu hal yang agak janggal dimata saya, iaitu kesesakan lalu lintas.

Saya amat hairan dan pelik, rupanya masih ada di bandar ini orang yang mengeluh melalui percakapan. Seni bercakap ternyata masih belum pupus. Tapi bukankah Facebook dan Twitter sudah ada?

Saya tidak ambil peduli bebelan Najwa, menikmati lagu seterusnya dari The Stone Roses yang berjudul ‘She Bangs The Drums’ dan kuatkan volume.

Di pertengahan perjalanan, memandangkan saya tidak melayannya tadi, Najwa bertukar ke topik lain. Mungkin tahu saya bekerja di lapangan media, dia menukar topik kepada isu berkaitan kebebasan media yang dikatakan begitu hangat sekarang, walhal tidak ada orang ambil peduli pun.

Najwa mengeluh lagi, katanya kebanyakkan pemberitaan media terlalu berat sebelah; sebagai contoh, dalam begitu banyak isu lain yang lebih membawa mudarat kepada rakyat, tiba-tiba beberapa hari lalu, muncul sekumpulan NGO berdemo dengan menyembelih ayam dan mengancam untuk menampar Teresa Kok, kononnya akibat tersinggung oleh klip video Tahun Baru cina yang dibuat Ahli Parlimen Seputeh itu.

Fokus berita kemudian begitu melulu menyerang Teresa tapi alpa dan lupa keberadaan serta pucuk pangkal klip video itu dibuat yang sebenarnya langsung tidak menyentuh perkara ‘sensitif’. Perkara sebenar tidak diberitakan, etika kewartawanan dibuang ke dalam bakul sampah. Banyak lagi isu lain.

Giliran saya membuka mulut, saya katakan pada Najwa bukan semua media berat sebelah dan mengikut aturan pemerintah. Jika anda secara seratus peratus mengimani bahawa semua media begitu dan tidak berpihak pada rakyat, maka anda berada dalam barisan dungu atau luar biasa naïf. Saya kemudian mengambil peluang menjawab bebelan pertamanya.

Mengapa kesesakan berlaku? Kerana sejak dulu lagi dan bukan hanya sekarang, Kuala Lumpur adalah pusat segalanya. Kuala Lumpur adalah makro dan mikrokosmo Malaysia. Otak pada segala tindakan obses maha buruk ini adalah pemerintah hebat kita.

Kuala Lumpur adalah wajah moden Malaysia. Ia tidak akan henti dihimpit puluhan, ratusan bangunan pencakar langit antara tertinggi di Asia Tenggara, pasaraya mewah bertingkat-tingkat dan peluang pekerjaan yang tidak pernah habis (tolak ke tepi baik atau buruk). Seluruh kepentingan nasional diketuk palunya dari kota ini. Semua tipu daya muslihat politik bermula dari kota ini. Rompak-merompak, kebas-mengebas, semuanya berawal dari sini. Itulah sebabnya kota manja ini sangat penting tanpa mengambil peduli kota lainnya yang setakat dilanda bencana denggi dan kenaikkan paras empangan air.

Najwa dan anda sekalian harus faham. Media hari ini menyusu pada kepentingan pemodal. Ini bukan telahan ala Marxis ‘Tukar Tiub’, Marxis sudah terlalu usang (jangan cepat melatah, tulisan ini tergolong dalam kategori satira). Ini hanya sekadar hitungan logik matematik sederhana dari orang yang biasa-biasa saja. Pemodal ingin tahu keadaan Kuala Lumpur, arus pembangunannya, urus selianya dan akses jalannya. Ini adalah masalah angka yang ditulis di jalanan. Tidak ada apa yang istimewa, malah jika Kuala Lumpur lumpuh dan perniagaan tidak berjalan, maka pundi wang akan berhenti.

Jika pundi wang berhenti, pemodal akan susah, industri mati, pengusaha gigit jari, cukong negara kehabisan wang dan media yang menyusu dari mereka semuanya kehilangan punca. Jadi walau tidak ada apa yang baru dan betul didalamnya, Kuala Lumpur tetap wajib diberitakan.

Anda seharusnya belajar bahawa dalam media, segalanya adalah tentang ‘capital’ dan kepentingan. Bencana-bencana lain itu tidak ada hubungannya dengan hati nurani apatah lagi kemanusiaan. Bayangkan saja kejadian banjir besar di negeri-negeri Pantai Timur yang saban tahun berlaku dan memakan begitu banyak nyawa, tapi setelah semakin pulih, bantuan dihenti, jalan mencegah dari berulang tidak langsung disebut, segalanya ditinggalkan, setakat itu saja dan hampir nihil kepedulian pemerintah mengenainya. Media mereka? Lupakan saja. Lalu jika anda masih tertanya ke mana perginya pemerintah? Bolehlah kiranya saya memasukkan anda dalam golongan malas dan lambat berfikir.

Tetapi sebagai seorang manusia yang budiman, marilah kita semua berbaik sangka dan berfikir positif. Tentu saja pemerintah kita, diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Najib Razak, penerima Anugerah Keamanan Global 2013 dari Yayasan Keamanan Global (GPF), sedang sibuk membantu isterinya menulis buku biografi kedua setelah buku pertama setebal 164 muka surat berjaya di ‘sold out-kan’ ke jabatan-jabatan kerajaan.

Najib pastinya sedang sibuk mencari usahasama dengan para cendekiawan dan budayawan untuk berbincang perihal buku terbaru nanti. Kali ini, beliau mahukan buku baru itu menjadi bahan klasik, karya luar biasa yang mempunyai persamaan kuat bersama buku berjudul The Diary of a Young Girl oleh Anne Frank. Semoga buku itu nanti tidak menjadi bahan bakar pemanas badan atau bantal. Tentunya tidak mungkin kerana melalui buku itulah bencana yang dialami negara 6 bulan akan datang ditampung. Lihat, betapa peduli dan kasihnya Najib.

Rakyat tentunya masih ingat jaminan Najib sebagai seorang pemimpin demokratik dalam ucapannya pada istiadat pertabalan Sultan Kedah Tunku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Yang Di Pertuan Agong ke 14, 11 April dua tahun lalu. Beliau ketika itu menyatakan ‘kita kini bersedia memasuki era baru dimana fungsi kerajaan tidak lagi mengehadkan kebebasan individu, sebaliknya memastikan hak-hak asasi yang dilindungi Perlembagaan bagi setiap individu itu terjamin’. Ingat lagi?

Dua tahun berlalu, kebebasan individu masih tidak terjamin. Perkara ini menyebabkan badan pemantau hak asasi manusia antarabangsa, Human Right Watch (HRW) berpengkalan di Empire State Building, New York, Januari lalu mengkritik keras Najib kerana gagal menunaikan janji malah mengembalikan undang-undang menindas serta menekan seperti masih menggunakan Akta Hasutan dan pindaan terhadap Akta Pencegahan Jenayah (PCA).

Najib yang juga peraih Anugerah Pemimpin Transformasi ASEAN tentu prihatin sekali soal nasib rakyat tanpa mengira batas agama dan kaum. Lihat sajalah ketika pemimpin lain sibuk meng-‘update’ Instagram, beliau tetap dengan kata-kata mutiaranya di Twitter. Dengan selera yang sangat estetik, Najib memberikan semangat melalui ucapan bukan dengan tindakan nyata, kerana sebagai pemimpin beliau tahu, rakyat mahukan janji bukan bukti. Bukankah ini sikap maha adil dan terpuji?

Kalau Tunku Abdul Rahman mahu dikenang sebagai PM paling gembira di dunia, Najib berbeza, seleranya lebih tinggi, beliau mahu dikenang sebagai ‘stand up comedian’.

Jadi, tolonglah percaya bahawa Najib Razak sedang berusaha sekuat tenaganya untuk membantu anda semua, rakyat Malaysia agar dapat hidup lebih bahagia. Sudahkah anda lihat bagaimana beliau menurunkan harga kangkung? Satu langkah yang nampak kecil tapi begitu memberi inspirasi, tindakan ulung yang layak menerima anugerah Nobel. Kah kah kah kah!

Bersabarlah rakyat semua, tenanglah, jangan melawan dan protes kerana semua masalah anda berada dalam radar Najib. Tidakkah anda lihat beliau sedang berusaha membawa kemakmuran kepada semua?

Hukum gerakan Newton pertama menyatakan bahawa sesuatu objek akan kekal dalam keadaan asalnya, iaitu dalam keadaan pegun atau dalam keadaan halaju seragam jika tiada daya luar bertindak ke atas objek itu.

Hukum pertama daripada tiga oleh Ahli Fizik bernama Sir Isaac Newton dalam maksud mudahnya adalah: sesuatu benda tidak akan berubah sampai ada benda lain yang memaksanya berubah.

Suasana gelap gelita, kereta dipandu tadi terhenti dihadapan Asia Cafe, saya ditarik keluar dengan iringan lagu Macam Celaka oleh Carburetor Dung ke van ambulans. Dibawa entah kemana. Akibat asyik berbicara jauh dari konteks asal dan merepek bukan-bukan, saya telah ditembak di kepala dan disamun oleh seseorang. Orang itu bukan Najwa atau pengikut ajaran usang Marxis ‘Tukar Tiub’ atau cukong, tapi mereka-mereka yang kini sedang membaca. Habis. Semudah itu. Hidup membuatkan saya mati, mati membuatkan saya hidup.

Life asked death: Why do people love me? But hate you?.

Death responded: Because you are a beautiful lie and I am a painful truth. (Unknown). – Roketkini.com