Berita

Penang Institute buka cawangan Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 24 FEBRUARI: Penang Institute (PI), sebuah badan pemikir di bawah Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan membuka cawangannya di Kuala Lumpur bulan ini, bagi meluaskan lagi kajian dan aktivitinya, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Zairil Khir Johari.

PI adalah sebuah badan yang rancak menganjurkan program berhubung isu ekonomi, sosio-politik, kajian bandar, sejarah serta kajian Nusantara.

Beliau berkata, pembukaan itu akan dapat meluaskan lagi pengaruh PI di peringkat negara dan antarabangsa.

“Sementara aktiviti teras akan terus berpusat di Pulau Pinang, cawangan di Kuala Lumpur akan meningkatkan pengaruh kita, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menjadi bandaraya intelek dan bertaraf antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, idea dan pemikiran yang penting bagi Pulau Pinang perlu dipromosi, disebar serta dibincangkan di Lembah Klang agar dapat menarik perhatian ramai, serta sokongan pihak berkepentingan.

“Pada masa sama, banyak buah fikiran untuk dasar kerajaan negeri juga dapat dikumpul di sini,” kata Ahli Parlimen Bukit Bendera itu lagi.

PI konsisten mengadakan program berbentuk intelektual, antaranya adalah Pameran Sasterawan Negara bagi menyambut ulang tahun kelahiran ke-70 Sasterawan Negara, Professor Emeritus Muhammad Haji Salleh pada 9-14 April 2012, dan syarahan ‘Is Liberty an Islamic Value?’ oleh intelektual terkemuka, Mustafa Akyol 8 Februari lalu.

Selain kajian berhubung dasar awam, PI cawangan Kuala Lumpur nanti akan menjadi platform perbincangan dan pertukaran pendapat berhubung isu strategik dan semasa yang membabitkan negara.

Majlis pelancaran akan diadakan di Rumah Pulau Pinang, Jalan Lembah Ledang, Damansara Heights pada Rabu ini (26 Februari) jam 2 petang dan bakal dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Pengerusi PI, Lim Guan Eng. -Roketkini.com