Berita

Tidak hidup demi diri sendiri, selepas 48 tahun Kit Siang tidak kenal putus asa

KUALA LUMPUR, 24 FEBRUARI: Setelah 48 tahun bergasak dalam arena politik Malaysia, Lim Kit Siang masih konsisten dengan perjuangan ke arah Malaysia yang lebih baik.

Bercakap pada sesi dialog Sekolah Demokrasi di ibu negara semalam, Ahli Parlimen Gelang Patah itu menegaskan bahawa masih ada misi demi negara dan rakyat yang belum selesai.

Apabila ditanya peserta kenapa beliau tidak berehat sahaja dan tinggal di rumah menjaga cucu, jawabnya, “Kita tidak hidup demi diri sendiri, kita tidak boleh pentingkan diri. Semua orang ada peranan masing-masing.”

Sesi dialog itu mempertemukan pemimpin veteran DAP itu dengan 30 peserta Sekolah Demokrasi kelolaan Roketkini, terdiri daripada mahasiswa, anak muda dan aktivis politik dari serata pelosok tanah air.

Beliau dengan tenang menjawab soalan bertubi-tubi mengenai isu semasa termasuk soalan peribadi mengenai pengalamannya dalam tahanan.

“Selain empat dinding itu, saya hanya ada diri saya sendiri,” ujarnya menceritakan mengenai penahanan pertama selama 17 bulan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Saya mulakan pengajian undang-undang ketika dalam tahanan ISA. Ia adalah satu ujian sama ada saya akan terus percaya dengan perjuangan,” tambah beliau.

Menurutnya lagi, beliau tidak merasa sedih, meskipun tidak mengalami penderaan fizikal kecuali penderaan mental yang sangat berat dengan harapan supaya beliau mengalah dan menurut kehendak pihak berkenaan.

“Ketika ditahan kali kedua dalam Ops Lalang, anak saya Lim Guan Eng turut ditahan, jadi saya ada teman,” katanya menceritakan kisah menjadi tahanan politik selama 18 bulan akibat operasi itu.

Kata beliau, meski DAP diasak dengan politik perkauman dan agama bagi mengekang sokongan orang Melayu terhadap parti itu, ia tidak pernah berputus asa.

Menurutnya, penyokong parti sejak awal penubuhannya lagi menyertai perjuangan itu tanpa mengharapkan apa-apa.

“Ini adalah negara kita. Tak ada ‘China’ untuk kita pulang,” tambah beliau.

Dalam kerjaya politiknya Kit Siang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan ADUN di Melaka, Selangor, Pulau Pinang, Perak dan terbaru di Johor dan setiap perpindahan kerusinya bukanlah ke kerusi selamat malah bertujuan menggugat kawasan musuh yang perlu ditawan.

“Tidak ada jaminan kemenangan. Dr Mahathir malah menyeru supaya saya dikuburkan di Johor, negeri kubu UMNO itu malah mensasarkan untuk mempunyai sifar pembangkang,” ujarnya lagi.

Kit Siang mengalahkan mantan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di Gelang Patah pada Pilihan Raya Umum ke-13 dengan majoriti hampir 15,000 undi. Anak kelahiran Batu Pahat itu baru sahaja menyambut ulang tahun ke-73 pada 20 Februari lalu. – Roketkini.com