Berita

Skandal 1MDB: Tukar juruaudit setelah akaun hampir setahun tertangguh bukan ‘amalan terbaik’

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Tindakan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menukar juruaudit, KPMG merupakan satu lagi tindakan terdesak untuk mengaburi pengurusan mereka yang buruk.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua menyifatkan tidak ada ‘amalan terbaik’ di dunia ini yang mengatakan bahawa ia adalah perkara biasa untuk secara mengejut menukar juruaudit lama selepas akaun tertangguh.

“Apabila akaun mereka begitu ketara ditangguhkan iaitu hampir setahun dan juruaudit berhenti serta ditukar sebelum dimuktamadkan, maka sesungguhnya setiap rakyat berhak untuk meminta penjelasan jujur dari 1MDB. Mengapa tidak juruaudit itu ditukar pada Mac 2014?,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Minggu lalu, Tony telah mendedahkan pengunduran mengejut KPMG walaupun sudah berkhidmat semenjak 1MDB ditubuhkan.

Sebagai jawapan kepada Tony, pada 21 Februari, 1MDB dalam kenyataannya telah melantik Deloitte untuk menyiapkan audit tahun terakhir 31 Mac 2013.

1MDB menyatakan tindakan itu telah dipersetujui bersama KPMG dan mendakwa ia adalah selaras dengan amalan terbaik pasaran di mana syarikat-syarikat memutuskan juruaudit semasa atau masa depan selepas menimbangkan semua aspek.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu juga menyatakan pelantikan juruaudit baru turut menimbulkan kecurigaan apabila Pengurus Deloitte sendiri, Tan Theng Hooi pada 8 Februari 2012 menegaskan bahawa ‘kegagalan untuk menyediakan laporan kewangan mengikut masa yang ditetapkan tidak boleh diterima dan ia mungkin menunjukkan ada perkara tidak dapat diselesaikan seperti perakaunan, pengurusan atau isu lain.

“Di Malaysia dan di negara lain seperti Amerika Syarikat, setiap syarikat awam hanya diberikan 6 ke 8 minggu untuk melaporkan akaun suku tahunan mereka.

“Walapun 1MDB tidak disenaraikan sebagai syarikat awam, ia adalah aset kekayaan negara yang penting untuk orang ramai tapi mengapa audit dibuat hanya setahun sekali,” katanya.

Beliau turut mengecam alasan 1MDB bahawa kemasukkan Deilotte merupakan hala tuju perniagaan baru yang boleh membantu syarikat berkembang pesat.

“Alasan itu tidak masuk akal kerana ia bukanlah serumit masalah syarikat-syarikat besar di bursa saham seperti pengambilalihan Guthrie dan Golden Hope Plantations oleh Sime Darby.

“Lebih mengecewakan, sehingga sekarang mereka gagal memuktamadkan akaun dengan cara semasa mengikut peraturan ketat Bursa Malaysia,” ujar Tony. -Roketkini.com