Berita

Usah pertahan Najib, henti serang Waythamoorthy – Kian Ming

KUALA LUMPUR, 25 FEBRUARI: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin perlu berhenti menyerang P Waythamoorthy kerana meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Senator.

Ahli Parlimen DAP Serdang, Ong Kian Ming berkata, ini kerana kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sememangnya gagal menunaikan janji dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara BN dan Hindraf sebelum PRU-13 lalu.

Katanya, Waythamoorthy meletakkan jawatannya pada 10 Februari lalu kerana Najib gagal melaksanakan MoU itu dan kemudiannya mendesak Najib agar berundur.

Berikutan itu, Waythamoorthy diserang hebat dua menteri dan pemimpin BN yang kuat membodek Najib, antaranya Khairy yang mengatakan tuntutannya agar semua peruntukan terhadap masyarakat India diletakkan di bawah kendaliannya.

Menurutnya, Abdul Rahman pula mendakwa Waythamoorthy berbohong apabila mengatakan tiada bantuan untuk masyarakat India dan memetik peruntukan yang diterima kementeriannya bagi masalah perumahan di Taman Pertama di Dengkil, Selangor.

“Khairy dan Abdul Rahman patut berhenti mempertahankan kegagalan Najib kerana menandatangani MoU yang beliau sendiri tiada niat untuk menunaikannya.

“Mereka tidak jujur kerana tidak menyebut kandungan MoU dan setakat mana Najib gagal melaksanakannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Kian Ming memetik satu daripada tuntutan dalam ‘blueprint’ Hindraf yang menjadi asas kepada MoU itu iaitu mewujudkan Kementerian Hal Ehwal Minoriti yang diketuai Waythamoorthy.

Menurutnya, walaupun beliau tiada akses kepada MoU itu, tetapi pasti tuntutan dalam ‘blueprint’ itu terkandung di dalamnya.

“Peranan kementerian itu seperti dinyatakan dalam ‘blueprint’ antaranya adalah mengetuai pembangunan sosio ekonomi masyarakat minoriti serta merangka sendiri keperluan belanjawan dan mendapat peruntukan yang secukupnya.

“Najib daripada awal menunjukkan niatnya untuk tidak melaksanakan MoU itu apabila melantik Waythamoorthy sebagai Timbalan Menteri tanpa mewujudkan Kementerian Hal Ehwal Komuniti seperti dibayangkan dalam ‘blueprint’ itU. Ia juga mencadangkan belanjawan tahunan RM4.9 bilion untuk kementerian itu.

“Tanpa kementerian baru dan menteri daripada Hindraf, semestinya janji belanjawan khas itu juga tidak dilaksanakan,” katanya lagi.

Mengambil kira tuntutan itu, Kian Ming berkata, adalah salah untuk Khairy mengkritik Waythamoorthy kerana ingin mengawal peruntukan itu, apatah lagi ia dinyatakan dalam MoU.

Katanya lagi, jelas Najib tidak berniat melaksanakan apa yang dipersetujui dalam MoU, sebaliknya hanya menandatanganinya untuk meraih undi masyarakat India pada PRU-13 lalu.

“Ia konsisten dengan keputusan ‘U-turn’ Najib sebagai Perdana Menteri serta kegagalannya menunaikan janji PRU-13, seperti
menurunkan harga kereta dan kadar tol antara bandar,” katanya lagi. -Roketkini.com