Berita

DAP fail saman halang Taib Mahmud dilantik Yang di-Pertua Negeri

KUALA LUMPUR, 26 FEBRUARI: DAP Sarawak semalam memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuching bagi menghalang pelantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Yang di-Pertua Negeri kerana melanggar Perlembagaan Negeri.

Memetik laman Malaysiakini, Ketua Pemuda DAP negeri, Wong King Wei berkata, Artikel 2(2) Perlembagaan Negeri melarang ketua negeri terbabit secara aktif dalam mana-mana perusahaan komersil.

“Apabila Taib menerima pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri, satu akuan (declaration) sedang diusahakan bahawa beliau melanggar Artikel 2(2) Perlembagaan Negeri Sarawak agar beliau digugurkan,” katanya.

Taib adalah pengarah Mesti Bersatu Sdn Bhd sejak 9 Mei 2007.

Katanya lagi, Taib juga seorang daripada pemegang saham Mesti Bersatu dan memiliki 400,000 syer dalam syarikat itu.

Selain itu, Ahli Dewan undangan Negeri (Adun) Padungan itu sedang mendapatkan akuan bahawa Taib selaku Ketua Menteri telah melanggar Artikel 6(5) Perlembagaan Negeri, juga kerana terbabit dalam perusahaan komersil.

Wong memberi masa 14 hari – bermula tarikh writ saman itu disampaikan untuk Taib hadir ke mahkamah.

Pada masa sama, katanya lagi, satu permohonan ‘ex-parte’ sedang disediakan dan akan difailkan secepat mungkin untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang pelantikan itu.

Taib akan melepaskan jawatan yang dipegangnya selama 33 tahun pada 28 Februari ini dan hampir pasti akan menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng sebagai Yang di-Pertua Negeri.

Pelantikan itu mendapat bantahan pelbagai pihak, apatah lagi beliau kini sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana pelbagai tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.-Roketkini.com