Berita

Najib patut isytihar ‘perang’ terhadap pelampau mengapikan semangat perkauman, keagamaan – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 26 FEBRUARI: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Datuk Seri Najib Razak tidak sepatutnya membiarkan tindakan penghasut dan pelampau yang mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan jika mahu menjadi Perdana Menteri untuk semua kaum di Malaysia.

Sebaliknya, kata beliau, Najib perlu mengisytiharkan ‘perang’ dan tidak memberi muka kepada penghasut dan pelampau yang mahu memusnahkan masyarakat majmuk Malaysia, tidak kira daripada UMNO, Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat.

Katanya, Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan juga patut dipecat atau diberi kata dua kerana secara terbuka membantah Rancangan Perpaduan Negara yang dianjurkan kerajaan.

“Kami juga menunggu untuk melihat samada Najib akan mempertahankan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup yang diamanahkan dengan portfolio perpaduan negara dan kini sedang diserang penghasut dan pelampau daripada kalangan kita.

“Apakah Najib serius bahawa Utusan Malaysia perlu diberi kebebasan untuk menimbulkan permusuhan kaum dan agama, termasuk menyerang Menteri Kabinet yang diamanahkan dengan portfolio perpaduan negara?

“Resepi yang diberi Najib kelmarin untuk membentuk perpaduan nasional dan membantu rakyat Malaysia menyemai sikap saling menghormati dan persaudaraan sesama mereka diuji hari ini oleh rencana pengarang Utusan Malaysia, Zaini Hassan yang mengingatkan bahawa saranan seorang menteri untuk menghapuskan ruangan “bangsa” dalam borang rasmi adalah langkah pertama untuk meyakinkan orang Melayu supaya melepaskan status mereka sebagai Bumiputera dan melupakan keistimewaan lain yang diberi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Najib menganjurkan pendekatan “Kita tidak perlu mengutuk mereka, sebaliknya abaikan saja mereka” sebagai respons terbaik kepada tuntutan penghasut dan pelampau termasuk tidak diberi ruang dalam berita atau publisiti.

Masalahnya, menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, rencana menghasut seperti “Orang Melayu sudah tidak peduli dengan bangsa sendiri?” dalam Utusan Malaysia bukan diterbitkan individu, sebaliknya oleh akhbar rasmi UMNO, parti yang menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional serta disebarkan secara meluas empayar media cetak, elektronik dan media sosial kawalan UMNO/BN.

Bagaimanapun beliau amat bersetuju dengan kolumnis Karim Raslan yang menulis mengenai “ironi” pada tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab yang ingin menyebarkan rasa panik di kalangan masyarakat kononnya Melayu dan Islam sedang diancam sedangkan “mempunyai cukup banyak sebab untuk mereka merasa selamat sekarang.”

“Kita (Melayu) membentuk 65% daripada penduduk Malaysia. Kita menguasai dunia politik, perkhidmatan awam dan ketenteraan, selain semakin banyak di kalangan kita yang menyertai sektor swasta berkat Dasar Ekonomi Baru.

“Saya tidak faham mengapa Melayu masih merasa terkepung. Suka atau tidak perubahan di Malaysia tidak akan berlaku jika tidak diterajui kaum Melayu.

“Ini adalah hakikat, lantaran ukuran masyarakat Melayu – satu faktor yang juga memberi makna bahawa kita juga perlu memimpin.

“Bagaimanapun, kepimpinan datang bersama tanggungjawab yang memaksa kita untuk bukan saja menjaga diri kita sendiri tetapi juga saudara kita sewarganegara,” katanya.

Karim menyentuh pokok-pangkal permasalahan yang menjejaskan usaha pembinaan negara, perpaduan masyarakat, serta kepimpinan Najib sendiri.-Roketkini.com